2008-03-14

‘Saya takkan lari dari tanggungjawab’

BERIKUT ialah sedutan temu ramah pengacara Bernama TV (BTV), Sherkawi Jirim bersama Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di Seri Perdana.



Temuramah selama 30 minit itu menyentuh pelbagai perkara berhubung Pilihan Raya Umum Ke-12 yang baru berakhir, termasuk penjelasan beliau mengenai faktor yang menyebabkan Barisan Nasional (BN) gagal mempertahankan majoriti dua pertiga bagi kerusi Parlimen.



BTV: Bernama TV mengucapkan setinggi penghargaan kerana hari ini kami di Seri Perdana, Putrajaya bersama Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, ini merupakan satu penghormatan tidak terhingga diberi peluang mewawancara Yang Amat Berhormat Datuk Seri.



Jadi berdasarkan keputusan pilihan raya yang baru lepas, mungkin Datuk Seri ingin memberi huraian berhubung keputusan pilihan raya kali ini.



Abdullah Ahmad Badawi: Saya terima baik keputusan rakyat yang menentukan kedudukan parti-parti yang mengambil bahagian. Yang kedua, saya akui bahawa keputusan yang telah kami perolehi itu jauh lebih berbeza, merosot daripada keputusan tahun 2004.



Ini tentu sekali ada sebab-sebabnya dan yang utama sekali ialah rakyat hendak menyatakan kami kurang puas hati, dalam empat tahun saya menjadi pemimpin kerajaan dan dengan itu mereka mengkehendaki perubahan.



Dan dengan itu mana yang boleh saya laksanakan akan saya laksanakan. Saya memahami apa yang menjadi kehendak rakyat. Mungkin dalam pelaksanaan itu ada kekurangan dan kelemahan, maka itu akan diperbetulkan.



Selama empat tahun Datuk Seri memimpin negara, kami percaya banyak cabaran dan dugaan yang terpaksa Datuk Seri hadapi, secara peribadi apakah sebenarnya cabaran yang paling hebat selama empat tahun menjadi Perdana Menteri.



Pertamanya ialah memahami semua masalah yang timbul terutamanya perhubungan antara kaum. Dengan isu-isu yang timbul dari semasa ke semasa. Ini saya kena pastikan hubungan itu sentiasa dalam keadaan yang baik dan ada perasaan saling hormat- menghormati dan muhibah.



Keduanya, yang penting juga iaitu keamanan dan keselamatan supaya terus dinikmati oleh rakyat. Saya juga menghadapi masalah yang besar sekarang ini ialah masalah inflasi ekoran kenaikan harga minyak begitu tinggi sekali. Ini bukanlah perkara yang mudah dihadapi tetapi kita telah hadapi selama ini dan akan terus menghadapi masalah ini dalam pemerintahan yang baru ini.



Selain itu ekonomi negara mesti terus berkembang dan kukuh. Kita mahu apa yang berlaku pada ekonomi negara kita ini ialah satu kejayaan yang kita perolehi walaupun sikit demi sedikit tapi adalah kejayaan yang diharapkan oleh rakyat.



Kekuatan ekonomi itulah yang akan menjamin kita mendapat pelaburan dan juga menjayakan apa-apa juga projek yang kita ingin laksanakan. Perubahan sekarang sudah timbul iaitu anak-anak muda kita yang menjadi pengundi pada pilihan raya, mereka ada aspirasi dalam negara ini. Apakah harapan mereka yang perlu kita laksanakan.



Pemikiran mereka hari ini mungkin berlainan. Harapan mereka itu tidak sama dengan orang-orang tua dahulu ataupun semasa saya muda dahulu, 30 atau 40 tahun dahulu. Jadi beza ini perlu dikenali dan difahami. Apa yang dikehendaki oleh mereka ini perlu kita respons dengan sebaik-baiknya supaya mereka memahami bahawa ini merupakan satu-satunya negeri yang kami rasa ada harapan untuk hidup, harapan untuk berjaya dalam karier masing-masing, harapan untuk mendapat peluang pekerjaan, harapan untuk mendapat peluang-peluang dalam kerjaya yang mereka minati.



Ini adalah keperluan-keperluan yang perlu diberi perhatian dan ini adalah keperluan baru jika dibandingkan berlaku sudah lama dan kita kena address isu-isu seperti ini. Saya harap dalam address isu-isu seperti ini, apa yang saya perlu perolehi ialah kefahaman dan kerelaan untuk bekerjasama bagi menjayakan projek-projek, rancangan-rancangan atau dasar-dasar baru yang akan dilaksanakan.



Selepas keputusan pilihan raya diumumkan, banyak pihak meragui tentang kedudukan Datuk Seri sendiri, malah ada pihak yang kata Datuk Seri mesti bersara, tetapi Alhamdulillah setakat ini Datuk Seri mendapat sokongan yang begitu kuat, bukan sahaja daripada UMNO tetapi juga daripada parti-parti komponen BN. Komen Datuk Seri.



Saya menghargai sokongan yang diberikan oleh pemimpin dan ahli-ahli UMNO serta pemimpin parti komponen BN. Saya juga faham walaupun sokongan yang diberikan kepada BN yang saya pimpin itu merosot berbanding yang diberikan pada 2004, tetapi majoriti yang diperoleh pada waktu ini adalah satu majoriti yang kuat, hanya lapan yang kurang daripada angka 148 untuk menjadikan sokongan itu dua pertiga.



Ini masih berupa amanah, mandat yang diberikan kepada saya, saya tidak akan lari daripada tanggungjawab saya untuk melaksanakan apa yang dikehendaki oleh rakyat daripada apa yang dapat saya baca berdasarkan tahap sokongan yang mereka (rakyat) berikan itu.




Bernama TV menghormati pendirian Datuk Seri. Rata-rata apa yang diperkatakan orang ramai ialah Kabinet yang akan diumumkan oleh Datuk Seri, mungkin boleh beri bayang-bayang Kabinet yang akan diumumkan itu.



Sudah semestinya Kabinet itu akan dianggotai oleh pemimpin-pemimpin yang berwibawa dan mampu melaksanakan apa juga yang telah pun dirancangkan. Kita mahu transformasi yang hendak dibawa itu mesti dilaksanakan sebaik-baiknya.




Perlu juga diambil kira Kabinet akan terdiri daripada menteri-menteri daripada kaum-kaum di negara kita ini sama ada Cina, India, Iban dan Kadazan, semua mereka akan ada dalam Kabinet. Juga penting Kabinet juga akan ada muka-muka baru yang saya pilih.




Apakah kemungkinan menteri-menteri yang tewas dalam pilihan raya lalu akan dilantik semula sebagai menteri berasaskan kepada kebolehan dan kepakaran mereka?



Yang sudah tewas kita tidak ada cadangan untuk melantik semula.



Satu lagi yang menarik, kalau dilihat pada keputusan pilihan raya, sebenarnya banyak isu yang dibangkit terutama oleh parti-parti pembangkang ketika kempen pilihan raya, kadang-kadang isu dibangkitkan itu kelihatan remeh tetapi akhirnya memberi kesan. Pada pandangan Datuk Seri apakah sebenarnya isu-isu yang digunakan oleh parti pembangkang sehingga berjaya melakukan sesuatu yang dianggap luar biasa itu.



Isu-isu yang ada hubung kait dengan apa yang mereka anggap rakyat tidak puas hati, mereka ambil kesempatan untuk mengeksploitasikan habis-habis.



Isu kenaikan harga barang dan harga minya, ini yang menjadi isu yang cukup penting, juga isu-isu berkaitan pelbagai kaum, jenayah dan rasuah. Itu selalu disebut-sebut berulang kali. Itu perkara-perkara yang mereka tahu rakyat kurang senang dan maka itu memberikan jalan mudah kepada mereka untuk mendapatkan sokongan.



Tetapi ini isu-isu yang saya tidak lupa, perlu saya ambil segala tindakan untuk menyelesaikan isu-isu berkenaan, ini penting, akan menjadi perkara top priority dalam pentadbiran yang akan saya laksanakan.




Sokongan kaum India, Cina dan Melayu sendiri terutamanya terhadap BN dilihat sedikit menurun berbanding masa lalu, kenapa ini berlaku?



Perkara ini timbul kerana adanya perasaan-perasaan tidak puas hati tentang pengagihan pelbagai kemudahan sama ada projek dan lain-lain perkara, jadi ini yang ada hubung kait dengan pelaksanaan program-program dan projek-projek yang telah pun ditetapkan oleh kerajaan. Mereka tidak menentang, tidak mengatakan tidak puas hati dengan rancangan pembangunan yang ditetapkan, mereka mempersoalkan tentang pelaksanaan itu yang mereka kurang puas hati mengenainya.



Maka dengan itulah saya akan memberi perhatian, dalam pemerintahan nanti akan memberi perhatian sepenuhnya mengenai pelaksanaan. Dasar-dasar telah kita tetapkan, projek-projek telah mula dilaksanakan, atau sekurang-kurangnya telah dilancarkan untuk pelaksanaan, maka untuk empat lima tahun akan datang ini.



Yang akan saya berikan perhatian ialah yang berkaitan pelaksanaan, memperbetulkan pelaksanaan, memastikan pengagihan yang saksama antara semua kaum, memastikan semuanya berjalan dengan sebaik-baiknya dan berkesan dan menepati dengan apa yang dikehendaki oleh rakyat, itu yang akan saya berikan penekanan.




Satu lagi berkaitan dengan keamanan dan keselamatan, ini juga akan diutamakan. Saya mahu negara kita aman dan selamat. Undang-undang ada, tidak berubah walaupun pilihan raya menunjukkan tahap sokongan yang kurang berbanding dahulu.



Undang-undang masih boleh dipakai, masih boleh dikuat kuasa dan saya akan melaksanakan, menguatkuasakan undang-undang itu sebab adalah amat penting bagi negara kita ini aman dan selamat. Kalau tidak selamat, segala macam pembangunan yang hendak dilaksanakan tidak boleh dijalankan dengan betul, baik dan sempurna, jadi ini menjadi satu pre condition, syarat pertama bagi menjamin pentadbiran berjalan dengan baik dan pelaksanaan semuanya berjalan dengan baik.




Banyak juga yang memperkatakan apa akan berlaku kepada projek-projek besar yang sudah dirancangkan sebelum pilihan raya terutama yang melibatkan negeri-negeri yang bukan diperintah oleh BN. Adakah Datuk Seri bercadang untuk meneruskan projek-projek yang dirancangkan itu?



Apa pun yang telah dirancangkan, apa yang telah pun dilaksanakan, yang telah ada perjanjian, kontrak atau sebagainya, tidak berubah, ia akan terus dilaksanakan. Itu janji kepada rakyat. Ini rancangan kerajaan federal. Kuasa kerajaan federal meliputi semua negeri yang ada di dalam Malaysia ini.


Kita akan laksanakan, ini yang penting dijanjikan, sebab tanggungjawab kita untuk semua negeri, sama ada Koridor Ekonomi Wilayah Utara (NCER), lebuh raya, jalan raya dan lain-lain yang telah pun ditetapkan untuk dilaksanakan, kontrak yang telah dipersetujui untuk dilaksanakan, saya tidak akan tarik balik, sebaliknya akan dipastikan semua berjalan dengan baik dan elok dan seperti yang diharapkan.




Berkaitan UMNO sendiri, dikatakan salah satu sebab mengapa BN gagal mencapai pencapaian cemerlang adalah kerana adanya krisis dalaman dalam UMNO sendiri.

Boleh Datuk Seri terangkan lebih lanjut apakah isu dalaman UMNO dan apakah krisis yang menyumbang kepada prestasi kurang menarik daripada Umno dan BN.



Dengan jelas dan berterus-terang saya katakan apa yang berlaku dalam UMNO adalah juga berkaitan penamaan calon-calon, ada yang tidak puas hati, ada yang tidak mahu menyokong dan ada yang tidak mahu membantu. Ada macam-macam yang berlaku berkaitan calon yang telah dipilih itu.


Kebanyakan yang dihadapi sepanjang pilihan raya adalah berkaitan dengan pemilihan calon. Kita pilih calon dengan berhati-hati, nak pastikan calon itu tidak ada rekod jenayah, rasuah, itu yang penting sekali dan mereka juga bukan daripada orang yang muflis atau akan menjadi muflis.



Kita pilih mereka sebaiknya ada hubung kait dengan kedudukan dalam parti tetapi masih ada lagi ketidakpuasan hati dan inilah satu perkara yang telah melemahkan kempen-kempen kita.



Tetapi saya tidak menafikan bahawa kekuatan dari luar yang tidak mahu menyokong itu adalah juga satu kekuatan yang perlu kita akui kerana ini adalah apa yang diputuskan oleh rakyat dan dikehendaki oleh rakyat. Gabungan luar ini jugalah yang telah merosakkan, tetapi saya ingin berpegang kepada apa yang saya fahamkan iaitu rakyat ingin memberi isyarat dan isyaratnya ialah Pak Lah perbetulkan pelaksanaan, pastikan semuanya berjalan baik, elok dan tegas supaya negara kita ini benar-benar boleh menjadi negara yang selamat untuk semua dan keamanan akan dinikmati oleh semua dan pembangunan akan dilaksanakan sebaiknya tanpa melakukan diskriminasi dan pastikan pengagihan peluang itu adil bagi semua kaum. Ini yang saya faham, ini mesej yang ingin disampaikan.



Satu lagi yang mungkin Datuk Seri perkatakan sesuatu atau menyeru sesuatu terutamanya kepada parti komponen yang menerima paluan hebat dalam keputusan pilihan raya terutama melibatkan Gerakan, MCA atau MIC misalnya.

Mungkin Datuk Seri ingin mengatakan sesuatu kepada parti komponen.



Saya harap mereka memahami kenapa nasib tidak baik sekali dalam parti yang mereka pimpin. Mereka tentu ada buat analisis mengenai perkara ini. Yang pentingnya apa pun hasilnya, dijadikan panduan untuk perbetulkan, jangan nanti pula rasa dah give up atau rasa tak nak buat apa-apa lagi kerana terlalu dukacita dengan kekalahan itu.


Mereka mesti ambil tindakan yang positif dan tegas bahawasanya apa yang tidak baik berlaku dalam parti diperbaiki. Sepertimana yang saya akan lakukan pada UMNO juga dan Barisan Nasional keseluruhannya. Itu penting.



Seruan Datuk Seri kepada calon-calon terutama daripada BN yang sudah pun berjaya, seperti kata Datuk Seri tadi apa yang berlaku pada pilihan raya lalu ialah seperti protes daripada rakyat terhadap kerajaan BN dan mereka yang berjaya perlu ambil iktibar terhadap apa yang telah berlaku. Nasihat Datuk Seri kepada mereka.



Nasihat saya ialah mereka menjadi wakil rakyat, perlu mewakili rakyat dan perlu berkhidmat untuk rakyat. Memang ada juga antara komplen-komplen yang dibuat mengenai kurangnya perhatian, kurangnya khidmat, kurangnya berkesan, peranan-peranan wakil rakyat sama ada Parlimen atau Dewan Undangan Negeri.



Jadi mereka perlu memahami perkara ini dan perlu mengambil tindakan memastikan apa yang mereka laksanakan di kawasan masing-masing, sama ada berkaitan pembangunan projek-projek kecil, sama ada berkaitan dengan hubungan mereka dengan rakyat dan kumpulan-kumpulan tertentu seperti NGO di kawasan-kawasan mereka. Mereka mesti laksanakan dengan sebaik-baiknya dan rancangan-rancangan yang lain yang boleh membantu rakyat. Memberi perhatian kepada golongan yang miskin.



Mereka mesti faham bahawasanya mereka adalah orang-orang yang diharapkan berkhidmat untuk rakyat. Kerana rakyat yang telah memberikan sokongan kepada mereka untuk menjadi wakil rakyat dan ini kena faham betul-betul, mesti mesra rakyat, jangan sombong. Kalau mereka sombong maka tentu sekali tidak diingini oleh rakyat.



Itu nasihat kepada calon-calon berjaya yang mewakili BN tetapi pastinya Datuk Seri mempunyai nasihat dan juga teguran kepada calon-calon dari parti pembangkang yang sekarang telah membentuk beberapa kerajaan negeri.


Kita percaya mereka telah bangkitkan beberapa isu yang boleh menyentuh perasaan kaum lain terutama apabila bercakap mengenai Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan hak keistimewaan orang Melayu dan sebagainya. Saya percaya Datuk Seri juga kurang senang dengan keadaan yang sedang berlaku ini. Pandangan Datuk Seri mengenai perkara ini.



Mereka mesti memahami bahawasanya mereka sekarang ini menjadi pemerintah. Kerajaan di negeri-negeri itu adalah kerajaan yang mereka kuasai.



Mereka mesti lebih bertanggungjawab apabila mengeluarkan kenyataan-kenyataan.



Jangan hanya membuat kenyataan-kenyataan untuk menjadi popular dengan kaum-kaum tertentu sahaja. Apa kenyataan mereka, mesti berhati-hati, hubungan baik antara kaum jangan digugat. Jangan membenarkan kaum-kaum tertentu merasa mereka dipinggirkan, mereka tidak diberi perhatian. Dasar-dasar jangan mudah diubahkan, fikirkan habis-habis dulu.


Kenyataan mengenai DEB mestilah menjadi satu kenyataan yang mengambil kira apakah maksud, apakah dasar dan tujuan dasar-dasar itu. Kalau buat ikut suka saja, maka ini akan bawa padah. Ini adalah perkara yang sangat penting untuk mereka fahami. Menjadi kerajaan pemerintah bukanlah sama dengan hanya menjadi parti pembangkang. Parti pembangkang lain peranannya dan pemerintah lain peranannya. Sekarang barulah mereka tahu bukan senang dan mudah.



Datuk Seri lihat bagaimana parti pembangkang di dalam usaha membentuk kerajaan campuran sendiri telah menampakkan masalah. Komen Datuk Seri mengenai soal ini.



Ini telah tunjukkan bahawasanya apabila nak memerintah ada pelbagai masalah. Itu baru tiga parti, yang kita ada 14 parti. Saya percaya rakyat sedang memerhati apa yang mereka lakukan pada waktu ini.



Akhir sekali kami memberi peluang kepada Datuk Seri untuk memberi kata-kata kepada rakyat Malaysia yang barangkali telah pun reda sedikit perasaan mereka dengan keputusan pilihan raya yang telah pun diumumkan kerana akhirnya apa yang penting ialah ,sebagai rakyat Malaysia kita mahukan ialah melihat negara yang aman, makmur dan terus maju.



Saya mengambil berat dan perhatian tentang keputusan pilihan raya yang telah kami perolehi baru-baru ini dan apa yang jadi kehendak rakyat dan perkara yang tidak disenangi rakyat boleh menjadi kemarahan rakyat, saya tetap akan address semua ini dan akan perbetulkan apa-apa juga yang jadi kekurangan, kelemahan, kelewatan ataupun kurang keadilan dalam melaksanakan projek-projek yang dijanjikan oleh kerajaan. Ini yang saya akan pastikan.



Kedua, saya mahu pastikan ialah supaya negara kita akan tetap jadi negara yang selamat untuk semua. Keselamatan adalah amat-amat penting. Saya tahu negara yang tidak selamat, tidak ada keamanan. Jika keamanan tidak ada, keselamatan tidak ada, amat susah kita nak membangunkan negara.



Saya letakkan keutamaan kepada pembangunan negara, rakyat perlukan pembangunan yang memberi kenikmatan kepada mereka, peluang-peluang yang bermutu yang lebih baik untuk mereka hidup senang dan selesa dalam negara sendiri yang aman dan selamat.



Saya hendak pastikan dan buat perubahan-perubahan yang dijanjikan yang masih banyak lagi yang perlu dilaksanakan. Ini yang saya perlu tegaskan dan saya harap menerima sokongan daripada rakyat. Saya tak akan lari daripada tanggungjawab yang telah diamanahkan kepada saya.



Walaupun bukan dua pertiga tetapi majoritinya adalah majoriti yang besar yang membolehkan saya melaksanakan dan memastikan pemerintahan BN berjalan dengan baik dan akan dapat menghasilkan apa yang diharapkan oleh rakyat.



Terima kasih pandangan yang cukup ikhlas daripada Perdana Menteri dan saya percaya bahawa rakyat Malaysia dapat gambaran jelas tentang pendirian tegas yang disuarakan Perdana Menteri.



http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0315&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_01.htm


No comments: