2008-03-16

BN rugi jika hilang khidmat pemimpin berwibawa



Oleh Jami'ah Shukri



PERSOALAN pokok yang timbul selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 baru-baru ini ialah nasib masa depan tokoh politik yang disegani dalam Barisan Nasional (BN) tetapi tewas kerana kekalahan sesetengahnya dilihat bukan kerana soal diri, malah lebih menjurus kepada 'korban' keadaan.



Namun, mereka terutama yang masih muda terpaksa membuat perkiraan lebih mendalam dan mencongak semula apakah mereka berupaya untuk bangkit kembali, mengembalikan keyakinan rakyat di kawasan masing-masing.



Antaranya ialah bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil; bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon; bekas Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk S Sothinathan; bekas Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussin; bekas Timbalan Menteri Penerangan, Datuk Seri Chia Kwang Chye; bekas Setiausaha Parlimen Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datin Paduka Chew Mei Fun dan bekas Setiausaha Parlimen Kementerian Pelajaran, Datuk Paduka P Komala Devi.




Kebanyakan mereka ini adalah pemimpin pelapis yang sedang dididik untuk melangkau lebih jauh dalam parti masing-masing. Shahrizat adalah orang nombor dua dalam Pergerakan Wanita Umno dan cuma menunggu masa untuk mengambil alih jawatan ketua daripada Datuk Seri Rafidah Aziz.



Yang paling mengecewakan ahli parti Gerakan ialah apabila pemangku Presidennya, Dr Koh tewas, sekali gus memusnahkan pelan untuk menghantarnya ke Kabinet Persekutuan, bagi mengisi jawatan Menteri penuh menggantikan bekas Presiden merangkap penasihat Gerakan, Datuk Seri Dr Lim Keng Yaik.



Begitu juga Chia selaku Setiausaha Agung Gerakan yang turut dididik dalam Gerakan sebagai pemimpin pelapis. Hal yang sama berlaku terhadap Sothinathan, Naib Presiden MIC yang sedang dididik untuk memimpin parti itu suatu hari nanti.




Bekas wartawan, Chew yang juga Timbalan Ketua Wanita MCA, juga anak didik dalam parti itu. Turut kecundang ialah tiga orang kuat dalam MIC iaitu Timbalan Presiden, Datuk G Palanivel; Ketua Pemuda, S A Vigneswaran dan Ketua Wanita MIC, Komala Devi.



Di Kelantan, Dr Awang Adek adalah antara nama berpotensi untuk masa depan politik BN dan dinamakan sebagai bakal Menteri Besar jika BN berjaya merampas kembali Kelantan, tetapi impian itu musnah.



Apakah tokoh seperti Shahrizat, Dr Koh dan Awang Adek akan diketepikan begitu saja apabila Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan pembentukan Kabinetnya Isnin atau Selasa depan?



Mereka yang berbakat besar ini memang layak dilantik Senator bagi membolehkan mereka berada dalam Kabinet baru. Pemerhati politik yakin kekalahan mereka bukan kerana pengundi tidak suka, tetapi menjadi mangsa keadaan.




Namun, terpulang kepada Perdana Menteri untuk menentukan sama ada untuk melantik pemimpin pelapis yang tewas ini dalam usaha untuk mengembalikan mereka ke dalam arus politik perdana, merencana masa depan mereka dalam parti dan kerajaan.




Mungkin orang ramai tidak terkilan sangat dengan kekalahan beberapa lagi Menteri Kabinet seperti bekas Menteri Kerja Raya, Datuk Seri S Samy Vellu; Datuk Seri Zainuddin Maidin (Penerangan) dan Datuk Seri Abdul Aziz Shamsuddin (Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah). Malah, mereka ini juga tidak perlu untuk dilantik sebagai Senator bagi membolehkan muka baru menyertai Kabinet.




Walau apa juga alasan berkaitan kekalahan calon BN, tiupan ribut kencang yang melanda itu nampaknya tidak mengenal siapa mereka. Tsunami yang menggulung dalam pertandingan kali ini turut ‘menyapu bersih’ beberapa Menteri Kabinet itu.




Gara-gara Tsunami sebenar, musnah banda Aceh di Indonesia, tetapi ‘tsunami politik’ tidak seharusnya memusnahkan karier tokoh berpotensi seperti Dr Koh, Shahrizat dan Awang Adek.





Karier politik mereka mungkin akan malap dan namanya sedikit demi sedikit lenyap dalam arus perdana jika tanpa diberi sebarang jawatan tertentu.




Kerajaan boleh timbang semula pemimpin berwibawa itu menjadi senator supaya segala pengalaman dan kepakaran mereka dapat dijana untuk kepentingan rakyat.




Kewibawaan Dr Koh sudah diakui oleh Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sendiri yang menganggapnya pemimpin terbaik serta berjaya menguruskan negeri dengan baik termasuk aspek pengkorporatan khusus dalam pengurusan bekalan air.




Azizah yang memenangi dua penggal bagi Parlimen Permatang Pauh juga menyatakan Dr Koh adalah contoh terbaik masyarakat Cina serta mampu menerajui negeri dengan penuh dedikasi sejak dilantik sebagai Ketua Menteri, pada 25 Oktober 1990.




Begitu juga dengan Presiden MCA, Datuk Seri Ong Ka Ting, meskipun menang dalam pilihan raya tetapi awal-awal lagi sudah menolak sebarang pelantikan semula ke dalam Kabinet kerana rasa bertanggungjawab terhadap prestasi buruk MCA.




Tetapi itu kata Ka Ting, kerana Abdullah belum lagi membentuk Kabinetnya yang memungkinkan bekas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu kekal sebagai Menteri. Benar, MCA mencadangkan empat nama tanpa nama Ka Ting tetapi Abdullah akan membuat keputusan muktamad.




Ka Ting dilihat sebagai pemimpin masyarakat Cina yang sederhana, bijak dan jarang mengeluarkan kenyataan kontroversi yang boleh menyinggung perasaan kaum lain.




Jika semua nama besar dan berpotensi ini tiada lagi dalam barisan Kabinet, ia satu kerugian kepada negara dan rakyat meskipun peribahasa ada menyebut ‘patah tumbuh hilang berganti’, tetapi yang berganti tidak akan sama seperti dengan yang pergi.




Mengambil contoh sekali lagi Shahrizat, namanya bukan saja sinonim dengan masyarakat di Lembah Pantai, malah di kementeriannya. Beliau sudah melakukan yang terbaik untuk memperjuangkan martabat golongan wanita, warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan kanak-kanak.




Sikap penyayang dan prihatin terhadap golongan sasar itu terserlah, selain mudah mesra tanpa mengira tahap, kedudukan dan keturunan.




Begitu juga Chew, bekas penyandang kerusi Parlimen Petaling Jaya Utara yang dilihat sebagai ‘versi Shahrizat’ di Petaling Jaya, matang dan tahu selok belok kawasannya dengan membawa banyak kemajuan.




Minatnya dalam politik juga tidak pudar, sebaliknya beliau sendiri mengakui walaupun kalah pada pilihan raya lalu itu, beliau tetap bersedia untuk memberi khidmat kepada masyarakat di kawasannya.




“Walaupun kalah, saya akan meneruskan khidmat kepada masyarakat tetapi dengan cara yang berbeza. Saya perlu mendapatkan pekerjaan lain untuk semua itu,” katanya.



http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Saturday/Rencana/20080315102150/Article/





Semua Kandungan dan Semua komen para pembaca pada blog ini bukan pandangan dan pendirian saya dan Saya tidak bertanggungjawab untuknya.

No comments: