Darwis Said
RAKYAT Malaysia melahirkan perasaan berbeza-beza mengenai rancangan pembangkang hendak mengetepikan pelaksanaan 'semangat' Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang bertujuan memperjuangkan hak Bumiputera - khususnya kaum Melayu - dalam bidang pelajaran dan perniagaan di beberapa negeri yang dikuasai mereka.
Sedang satu golongan berasakan semangat dasar tersebut masih relevan untuk membantu membaiki taraf hidup masyarakat Melayu yang memerlukan dan tidak harus diketepikan sepenuhnya, ada juga yang melahirkan kebimbangan terhadap penyalahgunaannya.
Malah, golongan kedua itu berasakan sudah tiba waktunya bagi kaum Melayu menggandakan usaha mereka untuk membaiki diri mereka dengan sama-sama bersaing dengan kaum lain di Malaysia.
Pandangan itu diberikan 10 penduduk di kawasan sekitaran Kuala Lumpur semasa ditemui akhbar Berita Harian semalam.
Selasa lalu, Setiausaha Agung Parti Tindakan Demokratik (DAP), Encik Lim Guan Eng, yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang, berikrar akan mengendalikan pentadbirannya bebas daripada DEB kerana ia dilihat sebagai punca 'kronisme, rasuah dan ketidakcekapan yang sistematik'.
Bagaimanapun, awal minggu ini, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, berkata isu memansuhkan DEB itu tidak sepatutnya ditimbulkan lagi kerana dasar yang dikenalkan dalam 1971 itu telah pun ditamatkan dalam 1991.
Namun, pengamalannya masih lagi dilihat berleluasa di Malaysia.
Mengulas, Haji Mohd Rosli Haji Hussein, dari Puchong, Selangor, berkata hal itu 'mendukacitakan sedikit' perasaannya.
'DEB itu adalah keuntungan (kelebihan) besar, khususnya bagi kaum Bumiputera dan Melayu, dan ketiadaannya akan menyulitkan lagi peluang Bumiputera,' jelasnya.
Namun, beliau berkata adalah terlalu awal untuk membuat sebarang kesimpulan mengenai kesannya kerana 'belum ada lagi strategi yang disusun' kerajaan pembangkang, khususnya di Pulau Pinang.
'Jadi, kita tunggu dan lihatlah,' ujarnya.
Bagi Encik Irwan, seorang penolong pengurus yang berasal dari Bidor, Perak, langkah pembangkang itu akan hanya menimbulkan rasa tidak puas hati sebahagian besar kaum Melayu.
Ini kerana 'ramai yang tak setuju, dan masih ada juga yang tetap memilih BN (Barsisan Nasional)', tegas beliau.
Seorang setiausaha, yang hanya mahu mengenalkan dirinya sebagai Cik Ashikin, 44 tahun, bagaimanapun berkata DEB ada 'baik dan buruknya' kerana selain daripada membantu, ia juga boleh disalahgunakan.
'Ada juga baiknya jika tak ada DEB. Dulu, apabila kita bergantung kepada kerajaan untuk menawarkan kontrak dan bantuan kewangan, terjadi pula kes 'Ali Baba'. Mungkin betul juga kata Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa Melayu mudah lupa.
'Kita telah diberikan cara dan kemudahannya untuk bergerak, jadi kita seharusnya berusaha sekuat mungkin seperti kaum lain. Tetapi, ini yang tidak dilakukan orang Melayu apabila mereka dihidangkan bantuan tersebut,' jelasnya.
Akur dengan pandangan itu, seorang eksekutif perbankan, Encik Muhd Halim, berkata mungkin tiba masanya bagi masyarakat Melayu berusaha keras untuk bersaing.
Semua Kandungan dan Semua komen para pembaca pada blog ini bukan pandangan dan pendirian saya dan Saya tidak bertanggungjawab untuknya.
No comments:
Post a Comment