2008-03-15

Harakah…Roket tak berat sebelah ke ?

Terbaru – ada peguam menganjurkan orangramai boikot akhbar arus perdana




Terdahulu – ada peguam menjuarai Hindraf anjur reformasi di jalan raya




Terlebih dahulu – ada peguam melalui BERSIH adakan tunjuk perasaan di KL




Mungkin dalam ketiga-tiga kegiatan oleh ‘organisasi’ tidak berdaftar ini, penglibatan para peguam secara kebetulan sahaja. Dalam apa tunjuk perasaan sekalipun, walaupun tidak menjadi penggerak utama, ada sahaja peguam-peguam tertentu yang terlibat.



Buktinya, apabila penunjuk-penunjuk perasaan diberkas oleh pihak berkuasa, maka terserlahlah mereka – termasuk mereka yang tidak mendepani gerakan itu. Ada yang didakwa dan ada pula yang masih ditahan untuk tujuan siasatan dan pemulihan.



Mungkin, secara kebetulan juga, selain daripada para peguam, pemimpin-pemimpin parti politik pembangkangpun didapati turut terlibat dalam demonstrasi jalanan berkenaan. Seperti juga para peguam berkenaan, ada di kalangan mereka yang menjadi ‘hero’ manakala lainnya sekadar menjadi pengikut sahaja.



Cuma, pertanyaan kita adakah ‘kebetulan-kebetulan’ ini memang kebetulan tulen atau memang betul-betul?



Terbaharu, ada peguam yang mengakui diri mereka sebagai Parlimen Rakyat menganjurkan supaya orang ramai memboikot akhbar-akhbar arus perdana pada setiap hari Selasa kerana mendakwa laporan media berkenaan adalah berat sebelah.



Lihatlah ‘kebulatan minda Parlimen Rakyat ini, akhbar yang hendak dihukum adalah akhbar arus perdana kerana laporannya berat sebelah. Akhbar-akhbar seperti Roket dan Harakah tentulah tidak termasuk dalam senarai boikot. Kenapa? Sebab Harakah dan Roket tidak berat sebelah.




Akhbar-akhbar milik pembangkang tidak berat sebelah kerana ia tidak mempunyai dua belah. Semua laporannya hanyalah mengenai parti sendiri atau hanya sebelah pihak, maka tidak timbul langsung berat sebelah kerana ia memang sebelah sahaja.



Buat apa jadi anggota Parlimen Rakyat terjerit-jerit di luar. Pilihanraya umum dah dekat, pergilah sertai pilihanraya dan jadi ahli Parlimen betul-betul. Di sana nanti baru tahu, siapa yang berat dan siapa pula yang sebelah.



Cuma saya tertanya-tanya kenapa para peguam terlalu cenderung mengadakan pelbagai demonstrasi atau menganjurkan boikot? Kerajaan menggalakkan orangramai membaca, tetapi ada peguam mengajak orangramai jangan beli akhbar. Kenapa ada persimpangan?



Adakah kerana terlalu banyak peguam di Negara kita sehinggakan ada di kalangan mereka tidak mendapat kes yang sepatutnya. Adakah juga kerana persaingan terlalu tinggi hinggakan mereka terpaksa mencari kes-kes terbaru dan terpinggir? Entahlah.



Elok juga kerajaan, melalui Kementerian Pengajian Tinggi dan pihak universiti mengkaji punca dan kecenderungan pelik yang sedang berlaku kini. Jangan nanti, oleh kerana terlalu banyak peguam, ada di kalangan mereka yang terpaksa ‘mencari kerja sendiri’!



Masih keliru

Melaka




http://www.agendadaily.com/cms/content.jsp?id=com.tms.cms.article.Article_c815c25b-cabec5bb-7c789400-4834d852





Semua Kandungan dan Semua komen para pembaca pada blog ini bukan pandangan dan pendirian saya dan Saya tidak bertanggungjawab untuknya.

No comments: