IZINKAN saya menyampaikan ucapan tahniah kepada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di atas pelantikan sebagai Perdana Menteri Malaysia tempoh hari. Walaupun mungkin menerima sedikit ‘isyarat awal’ pengundi, wajah Datuk Seri masih lagi menampilkan rasa keyakinan bahawa amanah ini akan dipikul dengan bertanggungjawab dan adil.
Sebagai anak muda Malaysia berbangsa Melayu, izinkan juga saya mengucapkan tahniah juga di atas kejayaan parti pimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang mendapat kepercayaan rakyat di Kelantan, Kedah dan beberapa negeri di mana Pas telah pun mendapat kepercayaan oleh rakyat berbilang kaum.
Apa yang berlaku semalam membuatkan saya menitiskan air mata. Menangis kerana buat pertama kalinya dalam sejarah 32 tahun hidup saya – saya dapat menyaksikan bagaimana ‘rupa bentuk’ sebuah kerajaan milik orang lain. Apa yang menjadi asas kepada pembangunan negara bertuah ini buat sekian lama; mudah benar ingin ditolak apabila kuasa tidak lagi berada di tangan ‘kita’.
Memang benar, ini pernah berlaku dahulu, namun pada tahun 1969 saya masih lagi belum lahir ke dunia yang fana ini. Terus terang, saya merasakan cukup hiba bila bangsa kita diletakkan dalam keadaan yang sedemikian lemah dan tidak mampu bersuara.
Pagi semalam, akhbar menyatakan bagaimana ‘titah sultan’ untuk memperkenan pelantikan Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin juga ditolak bulat-bulat oleh DAP. Oleh kerana punya jumlah kerusi yang banyak – DAP mula mempersoalkan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri yang mahukan seorang ‘Melayu-Islam’ dilantik sebagai Menteri Besar. Hati saya cukup luka. Jiwa saya terhiris dengan sikap chauvistic parti seperti DAP.
Apakah benar PRU 12 memberikan isyarat kepada sebuah negara Malaysia yang sebenar-benarnya rentas kaum dan berbilang bangsa?
Saya tidak punya keyakinan sedemikian. Rasa sedikit amarah rakyat tidak seharusnya dianggap oleh DAP atau mana-mana parti sekalipun sebagai petanda kepada politik ‘rentas kaum’ yang total. Ini hanyalah reaksi biasa kepada ketidakpuasan hati rakyat - yang akhirnya secara kebetulan diangkat menjadi ‘reaksi nasional’.
Pemimpin hebat tidak lahir dalam suasana yang mudah dan tenang. Pemimpin hebat selayaknya diuji dengan pelbagai situasi yang akhirnya menentukan kemampuan sebenar. Inilah ujian kepada Pak Lah. Dalam suasana politik yang masih lagi memerlukan penyesuaian – mungkin ada ruang kerjasama yang tidak pernah kita terfikir, boleh dilaksanakan – demi kepentingan orang Melayu secara keseluruhannya.
Kalaupun mampu dengan segala limitasi – untuk mengenali karakter dan cita diri Pak Lah; saya menjangkakan Pak Lah adalah seorang yang tidak gemarkan suasana konfrontasi yang akhirnya merugikan rakyat secara keseluruhannya.
Namun, sebagai pemimpin, Pak Lah boleh membuka ‘jalan kerjasama’ yang selama ini menjadi cukup sukar dan menyesakkan. Ketenangan Pak Lah saat diasak kiri dan kanan – memberikan bayangan bahawa keputusan terbaik untuk orang Melayu/Islam boleh dicapai dengan meninggalkan sedikit ‘ego kepartian’ dan membuka ruang kerjasama ‘Melayu/Islam’.
Oleh yang demikian, dengan rasa rendah diri dan penuh takzim, ingin saya mengusulkan kepada Datuk Seri Abdullah dan Datuk Seri Hadi – untuk memulakan langkah perbincangan dan gerak kerjasama antara parti ‘Melayu’ terbesar di negara bertuah ini.
Keputusan kerjasama ini mestilah bermula dari pucuk pimpinan. Ya, kita boleh menerima hakikat jika kerjasama ini tidak berkekalan dan berpanjangan.
Namun, orang Melayu mesti diberikan rasa keyakinan bahawa mereka masih punya tempat untuk menaruh harapan – dalam maruah kita dihenyak secara perlahan-lahan.
Sebagai permulaan kerjasama UMNO-Pas ini, fokus mesti kita berikan kepada usaha menentukan Menteri Besar Perak, diberikan kepada orang Melayu secara tanpa bahas.
Kerjasama UMNO-Pas peringkat negeri Perak akan membuka jalan kemungkinan agar Ir. Nizar terus ditabalkan sebagai Menteri Besar yang baru.
Ini sebagai menghormati keputusan rakyat yang menginginkan perubahan kepada kaedah dan cara kita memimpin negeri. Sebarang polisi dan dasar negeri Perak boleh ditadbir urus dengan terbuka dan telus – dengan seorang wakil BN bertindak sebagai Timbalan Menteri Besar.
Tidak ada salah dan cacat celanya untuk kita mencuba kaedah mentadbir kerajaan secara ‘rapatkan saf’ ini. Inilah permulaan kepada budaya politik Melayu yang mampu mendapatkan sedikit hormat daripada rakyat. Atau kita terus terhimpit dengan politik ‘jerit pekik’ di dalam Dewan Undangan Negeri yang akhirnya merugikan kepentingan masyarakat Melayu secara umumnya.
Melayu yang hebat dan punya pendirian mesti dihormati. Demikian juga, kita tidak seharusnya memupuk rasa benci kepada pimpinan Melayu dari parti yang lain.
Ideologi kita mungkin berbeza, namun dalam perkara-perkara yang menyentuh perpaduan Melayu dan maruah institusi raja – kita tidak boleh menerima penghinaan sedemikian rupa.
Kita tidak mampu lagi mempersoalkan ‘semangat Melayu’ mereka yang telah bersekongkol dengan DAP dan sebagainya. Dalam suasana ketidaktentuan kepimpinan di Negeri Perak Darul Ridzuan – ia memerlukan tindakan yang radikal dan luar jangka.
Bertemulah atas niat untuk memartabatkan Islam dan memperkasa Melayu.
– KHAIRUDDIN MOHD. ZAIN
Wangsa Maju, Kuala Lumpur.
http://www.utusan.com.my/utusan/arkib.asp?y=2008&dt=0314&pub=utusan_malaysia&sec=rencana&pg=re_08.htm&arc=hive
Semua Kandungan dan Semua komen para pembaca pada blog ini bukan pandangan dan pendirian saya dan Saya tidak bertanggungjawab untuknya.
No comments:
Post a Comment