2008-03-25

MT timbang tangguh pemilihan Umno



Mar 25, 08 2:17pm


Majlis Tertinggi Umno akan bermesyuarat Khamis ini untuk memutuskan gesaan kesemua perwakilan badan perhubungan Umno negeri yang mahukan pemilihan parti itu yang dijadualkan pertengahan tahun ini, ditangguhkan.


Menurut Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Muhammad Muhd Taib berkata, mereka membuat gesaan tersebut ketika menemui Presiden parti itu, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi baru-baru ini.



"Cadangan ini bagi mengelakkan 'mala petaka' kepada politik negara kerana dalam keadaan sekarang semua orang tidak boleh berfikir dengan waras,’’ katanya kepada pemberita di kementeriannya hari ini.



muhammad muhd taib 250308Sebelum ini, Muhd Taib menerima penyerahan tugas daripada bekas menteri berkenaan, Datuk Seri Aziz Shamsuddin. Aziz gagal mempertahankan kerusi parlimen Shah Alam dalam pilihanraya umum 8 Mac lalu.



Barisan Nasional (BN) kalah teruk dalam pilihanraya umum tersebut apabila gagal mempertahankan penguasaan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat.



BN memperolehi 140 kerusi manakala barisan pembangkang pula mendapat 82 kerusi parlimen.



Umno sendiri tewas kira-kira 30 kerusi parlimen dan hanya mampu memenangi 78 kerusi sahaja.



Di samping itu, barisan pembangkang juga berjaya merampas empat negeri - Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor. PAS pula berjaya mengekalkan Kelantan dengan tambahan kerusi.



Ekoran prestasi buruk Umno dalam pilihanraya umum lalu, Abdullah telah memanggil badan-badan perhubungan Umno secara berperingkat mengikut wilayah masing-masing, untuk mengadakan perbincangan di Putrajaya.



Selain membincangkan mengenai strategi untuk memulihkan semula Umno, soal pemilihan parti itu - yang ditangguhkan selama 18 bulan sebelum pilihanraya umum lalu - turut dibincangkan.



Ia ekoran kenyataan terbuka ahli parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah yang menawarkan diri untuk bertanding jawatan presiden dalam pemilihan Umno yang dijadualkan Ogos ini.



Tengku Razaleigh juga menghantar surat kepada kesemua bahagian Umno di seluruh negara menggesa mereka membuat usul meminta diadakan perhimpunan agung tergempar bagi membincangkan prestasi parti dalam pilihanraya umum lalu.



http://www.malaysiakini.com/news/80352

Semua Kandungan dan Semua komen para pembaca pada blog ini bukan pandangan dan pendirian saya dan Saya tidak bertanggungjawab untuknya.

No comments: