2008-03-14

Ketuanan Melayu dan Menteri Besar Perak

Ali Bukhari Amir
Thu | Mar 13, 08 | 12:37:16 am MYT


Sekitar 1999 atau mungkin 2000, saya dan rakan-rakan mahasiswa pernah bertemu Dato' Dr Siddiq Fadhil atas nama kunjungan dan ziarah. Kalau tidak salah saya, beliau pernah menjadi ahli Majlis Adat Istiadat Melayu Perak.



Beliau kini adalah Presiden Wadah dan mantan Presiden Abim sekitar 80-an. Rumahnya di Sg Ramal, Kajang. Ziarah kami bertujuan bertukar-tukar pandangan tentang pengalaman lalu dalam gerakan Islam dan pandangan beliau berhubung politik negara serta isu semasa. Ada hal-hal menarik berhubung pandangannya yang ingin saya catatkan di sini.



Antaranya, yang terpenting adalah hal Ketuanan Melayu. Entah bagaimana beliau dengan tiba-tiba berminat bercakap hal tersebut. Tapi, tatkala teringatkan bahawa beliau memang ahli dan dalam hal berkenaan, saya cuma menadah telinga mendengar setiap isi butiran percakapannya.



Jika beliau terbaca coretan saya ini, harapan saya agar beliau dapat membetulkan apa-apa yang mungkin tersalah dan tersilap tentang fakta-fakta yang ditemukan dalam tulisan ini. Ini kerana, hal ini agak lama dan izinkan saya mengoyak cebisan ingatan lama dan tampal semula di coretan ini. Jadi, mana-mana yang masih berlubang di sana-sini haraplah dapat ditampung.



"Saya tidak percaya anak-anak muda masuk Umno di atas niat perjuangan agama, bangsa dan tanahair. Selepas Reformasi, saya percaya ada dua sebab saja mereka ini masuk Umno.



"Pertama, mereka mahukan duit dan projek. Keduanya, … (mereka) bodoh sangat!" kata beliau. Saya dan rakan-rakan cuma tertawa mendengar kata-katanya bersulam kemarahan itu, ditambah pula dengan telor loghat Jawanya.



Baginya, Umno bukanlah pihak yang memperjuangkan Ketuanan Melayu. Dan, beliau ada bukti kukuh berhubung hal itu. Isterinya, Dr Siti Zulaikha cuma mendengar saja perbualan kami, kurang bercakap. Mungkin tidak mahu mengganggu perbualan tersebut.



"Nak tahu buktinya?" soal beliau. Saya mengangguk penuh minat. "Tunggu sekejap, saya ambil tesis disertasi saya." Dan, beliau pergi ke bilik bacaannya seketika.



Sikap kesungguhan beliau berhujah itu menyebabkan saya dapat mengagak inilah tingkah laku seorang ahli akademik; sentiasa berminat dan sanggup mengejar bahan bukti sokongan sebagai cara atau langkah guna menyempurnakan hujahnya.



Saya tidak fikir calon BN Parlimen Pokok Sena mempunyai sikap sedemikian. Agaknya, jika calon BN yang kalah itu dicabar untuk membentangkan semula rumusannya mengenai politik Kedah yang berpuak-puak, beliau sendiri pun tidak berani kerana tesis di UUM itu mungkin bukanlah hasil daripada penyelidikan dan penulisannya sendiri.



Saya rasa PMN, PKPIM, Gamis, SMM, Karisma, dan badan-badan pelajar yang lain dapat menyediakan tempat untuk beliau bersyarah di UUM atas tajuk itu dengan kehadiran NC UUM, Tan Sri Prof Dr Nordin Kardi. Ini perlu sebagai bukti; tesis itu hasil cetusan fikirannya sendiri.




Umno menolak Ketuanan Melayu?



Dr Siddiq kembali kepada kami dengan tesis tebalnya yang saya sudah lupa tajuknya. Penyelia beliau adalah Prof Dr Syed Muhammad Naquib al-Attas yang pada saat itu ialah pensyarah UKM. Kajian itu mungkin berkisarkan hal-ehwal Melayu. Mungkin hal politik Melayu dan kebudayaan Melayu.



Yang sempat saya ingat dan catit, menurut tesis itu bahawa hal Umno menolak Ketuanan Melayu memang tercatat di dalam Parliamentary Debates entah volum ke berapa, saya tidak ingat. Tapi, beberapa hal penting adalah sebagai penjelasan di bawah ini:-




Parti yang berusaha keras memajukan usul berhubung Ketuanan Melayu ialah Parti Islam SeMalaysia (PAS) yang menggesa agar usul itu diperjelaskan dan dimaktubkan dalam Perlembagaan Persekutuan. Ini perlu dibuat bagi menjelaskan negara ini milik Melayu.



Usul tersebut, kalau tidak salah ingatan saya telah dibawa oleh seorang ahli Parlimen PAS Hulu Terengganu, Haji Hassan Adli. Bagaimanapun, usul tersebut ditolak oleh Umno pada ketika itu dengan menggunakan kuasa majoriti 2/3 daripada suara ahli-ahli Parlimen.



"Jadi, bagaimana Umno boleh mendakwa mereka menegakkan Ketuanan Melayu?" soalnya.



Peristiwa dialog perbincangan antara kami dengan Dr Siddiq itu telah berlangsung dalam 8 ke 10 tahun lalu. Tetapi, ia masih tetap kekal relevan untuk didebatkan jika Hishammuddin Tun Hussein melihat dirinya sebagai wira Melayu dengan mengangkat keris Panca Warisan.



Tahun berikutnya ketika Hishammuddin tidak lagi mengangkat keris itu dalam 'Muktamar' Umno, Naib Presiden beliau, YB Khairy Jamaluddin pula bersuara dengan lagaknya: "Jangan risaukan kata orang. Keris sudah terhunus, bila lagi mahu menikam?"



Kedua-dua tokoh muda Umno itu sama saja perangainya. Buta perut dan tak belajar sirah perjuangan Melayu Islam dengan betul, cermat dan niat suci. Agak-agaknya, bagaimana mereka mahu menyanggah hujah yang dibentangkan di dalam tesis Dr Siddiq Fadhil itu? Jangan-jangan, mereka sendiri pun tidak tahu-menahu soal itu!



Bangsa lain akur Ketuanan Melayu secara tersirat



Dr Siddiq menambah, dalam hal Ketuanan Melayu ini, secara tersiratnya, bangsa lain pun sudah mengakui kewujudannya. Beliau menarik perhatian kami berasaskan perbualannya bersama seorang ahli politik DAP di Perak sebelum ini, mungkin di Kinta atau di Ipoh.



"Saya tak tahu apa pendirian kaum Cina dan ahli politik yang lain. Tetapi, yang ingin saya sampaikan di sini adalah pandangan beberapa orang pimpinan DAP di Perak sendiri.



"Mereka sendiri beritahu saya bahawa ini negeri Melayu. Walaupun mereka menang, tapi peluang untuk menjadi Menteri Besar itu mustahil. Semua ini kerana sultan akan memilih orang Melayu sebagai Menteri Besar pada akhirnya," kata beliau.



Saya renung hal itu dalam-dalam. Di India sudah tiada kuasa maharaja seperti zaman dan era yang lalu ketika raja berkuasa dengan hebatnya. Di China, melalui Revolusi Budaya 1911 oleh Dr Sun Yat Sen, sistem beraja Dinasti Manchu telah digulingkan. Semua ini berlaku dengan sebab British menjajah kedua-dua negara itu.



Tapi, hal ini berbeza di Tanah Melayu. British melalui perlembagaan dan desakan orang-orang Melayu telah memutuskan kedudukan raja-raja Melayu sebagai penaung Islam di negeri-negeri. Menurut catatan sejarah, khasnya Sulalatus Salatin, raja-raja Melayu telah pun mula mendapat kedudukan seperti itu, iaitu sebagai penyelamat dan pelindung agama.



Merah Silu dan lain-lain raja Melayu dilaporkan telah bermimpi bertemu Rasulullah s.a.w dan esoknya mereka menerima kehadiran mubaligh Islam. Serentak dengan itu, apabila rajanya telah menganut Islam, maka seisi negerinya memeluk ajaran Islam.



Tapi, peristiwa istimewa dan kejadian seumpama ini jarang disebut dalam lipatan sejarah bangsa-bangsa lain. Kedudukan raja-raja Melayu sebagai pelindung Islam tidaklah boleh disamakan dengan gambaran mengenai pembesar Melayu sebagai pembela Islam walaupun mereka menokok tambah Islam dengan lipstik kosmetik bermodalkan jenama hadhari.



Buktinya, Abdullah Ahmad Badawi sebagai pembesar Melayu tetap kecundang walaupun ‘kalimah toyyibah’ Islam Hadhari tersebut bergema di mana-mana melalui tetuang udara dan tv. Rakyat secara jumhur telah menolak gagasan itu kerana zalimnya pembesar itu berserta angkatan-angkatannya.



Ringkasnya, berbanding pembesar, raja Melayu mempunyai kedudukan lebih jelas sebagai pelindung, penyelamat dan pembela Islam berasaskan susur galur sejarah yang diperjelaskan melalui Sulalatus Salatin.




Bahaya hijau, Hizbul Muslimin di Perak



Ketika mengenangkan kedudukan Dr Siddiq sebagai ahli Majlis Adat Istiadat Melayu Perak, saya teringat ucapan seorang pemimpin Perikatan yang lantang menyebutkan darihal ancaman 'bahaya hijau' dan 'bahaya merah' pada suatu masa dahulu.



"Bahaya merah itu komunis dan bahaya hijau itu datangnya daripada gunung. Gunung itu adalah Gunung Semanggol," kata pemimpin itu lebih kurang yang terlintas di ingatan.



Hizbul Muslimin yang diharamkan British bermuara dari desiran tiupan angin perubahan di Ehya’ as-Syarif Gunung Semanggol, Perak. Masyhurnya tempat ini sehinggakan namanya pernah disebut sekilas di dalam filem P Ramlee (Nasib Do Re Mi).



Perjuangan mantan Presiden PAS Dr Burhanuddin al-Hulaimy kebanyakannya bertumpu di negeri Perak. Inilah antara imbuhan saham kredit yang menunjukkan peranan PAS di Perak hadir sebagai pergerakan menentang penindasan penjajahan British di negeri itu.



Kini, PAS telah berjuang membebaskan rakyat daripada cengkaman penjajahan Umno-BN yang terkenal sebagai anak didik British sejak dulu, kini dan mungkin buat selama-lamanya. Melihat hal ini, tidak salah jika diberi ruang kepada PAS untuk mentadbir negeri berkenaan.



Kami akhirnya pulang daripada rumah Dr Siddiq setelah lewat malam, sedangkan beliau masih rancak bercerita darihal pengalaman lalu. Sambil mengucapkan terima kasih di atas penerangan dan perkongsian ilmu, beliau berkata:



"Apa lagi yang boleh kami sebagai orang tua mahu sumbangkan kepada anak-anak muda dalam jemaah kini? Ini saja yang ada," kata beliau, sambil mengiringi kami keluar rumah.



Di luar rumah, sama keadaannya ketika kami tiba awal tadi. Iaitu ada kira-kira 6 hingga 7 ekor kucing sedang menunggu di luar pintu untuk masuk ke dalam rumahnya. Semua ini menarik perhatian.



Sempat juga dia berseloroh mengenai kucing-kucing itu. Gurauan yang penuh bermakna.



"Pintu ini terpaksa ditutup. Kalau tidak, kucing akan masuk. Kalau dibuang, rasa kasihan dan tidak adil pada perjuangan ini. Kita selalu sebut keadilan… keadilan…" ketika ini tangannya diangkat seperti gaya sedang berpidato. Lalu, dia menambah …



"Tapi, kucing kita sendiri pun tidak dapat dibela, diberikan keadilan kepadanya," kata-kata itu membuat saya ketawa sendirian dan hal itu masih melekat di ingatan sehingga kini. Adakah kita sebagai khalifah dapat melaksanakan amanah selepas mandat diberikan rakyat?



Walhal, kalau tidak salah saya, Khalifah Umar al-Khattab r.a pernah berkata, "Kalau ada seekor keldai yang mati kelaparan, maka Umarlah yang akan bertanggungjawab."



Semua inilah yang menjadi bahan renungan fikiran saya dan malah menjadi igauan mimpi ngeri tatkala mengenangkan Barisan Rakyat telah diberi mandat oleh rakyat kini.



Sekolah Pemikiran Pendang,
11:53 p.m, 12 Mac 2008.


http://www.harakahdaily.net/index.php?option=com_content&task=view&id=13238&Itemid=35

No comments: