Thu | Mar 06, 08 | 11:03:03 am MYT
Antara amalan tradisional yang masih mendapat tempat di hati masyarakat Cina, termasuk masyarakat Cina di Malaysia, ialah amalan Feng Shui.
Amalan Feng Shui adalah amalan yang mengambil kira apa yang dikenali sebagai penggunaan undang-undang Syorga (Laws of Heaven) dan undang-undang Dunia (Laws of Earth).
Ini juga bermakna ia menggambil kira aspek astronomi dan georafi. Rujukan kepada aspek-aspek astronomi dan geografi ini bertujuan untuk memperbaiki kehidupan individu apabila individu berkenaan menerima ‘aliran tenaga’ positif yang dikenali sebagai Qi.
Feng Shui juga melibatkan angkubah 'air' dan 'angin' yang mempengaruhi kehidupan manusia. Di era moden, Feng Shui merupakan satu amalan atau seni menyusunatur peralatan seperti perabot rumah bagi mencapai suasana harmonis dengan alam sekitar.
Ia juga melibatkan amalan untuk memilih tempat tinggal, tanah perkuburan dan juga perancangan pertanian. Amalan Feng Shui dikatakan mempunyai kaitan langsung dengan kedudukan kesihatan, kekayaan dan hubungan peribadi pengamalnya.
Apa yang lebih menarik, pada zaman pra-moden China, Feng Shui digunakan bagi memahami bentuk kuasa politik yang wujud pada ketika itu.
Mutakhir ini amalan Feng Shui kembali popular dan diamalkan oleh tokoh-tokoh dunia seperti Prince Charles dan Donald Trump. Bagi penulis, budaya politik masyarakat Cina di Malaysia dewasa ini amat dipengaruhi oleh falsafah dan amalan yang berlegar di sekitar amalan Feng Shui.
Ini selari dengan sikap politik masyarakat Cina yang berhati-hati dalam membuat keputusan politik (calculated political moves) yang bersifat strategik dalam kerangka mempastikan kesinambungan politiknya (the politics of survival). Pendekatan politik yang 'lembut' dan penuh cermat ala Feng Shui ini amat difahami selepas masyarakat Cina mengalami pengalaman politik yang perit yang terhasil dari peristiwa 13 Mei 1969.
Dalam peristiwa 13 Mei 1969 pengundi Cina mengambil pendekatan 'keras' atau pendekatan ala Kung Fu apabila mereka bergabung dengan pengundi India dan berhadapan dengan pihak pemerintah atau Perikatan secara konfrontasi.
Hasilnya bangkitlah hegemoni Melayu dan terguballah Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang dilihat sebagai lebih memihak kepada orang Melayu. Penerusan amalan DEB sehingga kini (sungguhpun ia sepatutnya berakhir pada 1990), amat membimbangkan orang Cina.
Mereka berpandangan dengan meneruskan amalan DEB tanpa had waktu, boleh menyebabkan mereka akan kehilangan kuasa ekonomi. Hilangnya kuasa ekonomi bererti hilangnya kuasa tawar-menawar dengan UMNO yang mewakili kuasa dominan BN.
Ini juga bererti mereka akan mengalami proses keterpinggiran secara jangka panjang. Memahami realiti politik inilah mereka akan menggunakan pendekatan politik Feng Shui yang penuh cermat dan harmonis bagi tujuan menterbalikkan trend (to reverse the trend) yang wujud kini. Untuk merealisasikan hasrat ini mereka tidak ada pilihan lain melainkan memberi undi mereka kepada pembangkang.
Mereka tidak lagi yakin dengan 'perubahan dari dalam' yang boleh dimainkan oleh MCA dan Gerakan yang sepatutnya mewakili kepentingan orang Cina dalam BN. Bagi sebahagian besar pengundi Cina, autonomi atau pergerakan MCA dan Gerakan adalah dihadkan oleh politik naungan (political patronage) tajaan Umno. Mereka melihat Umno sebagai terlalu dominan, terlalu berkuasa.
Apa yang terhasil dari kuasa Umno yang terlalu dominan ini ialah meningkatkan kes-kes penyalahgunaan kuasa dan rasuah secara terang-terangan; dan apa yang paling menghiris hati pengundi-pengundi Cina ialah MCA terutamanya, turut terpalit dengan budaya negatif ini yang menyebabkan ianya tidak lagi berperanan secara berkesan sebagai instrumen memperjuangkan kepentingan majoriti anggota masyarakat Cina.
Politik Feng Shui dan pilihan raya umum ke-12
Angin perubahan di kalangan pengundi Cina telah dapat dikesan se awal pilihan raya kecil yang diadakan di Machap dan Ijok. Perubahan ini adalah sesuatu yang penting dan sekaligus radikal kerana pengundi Cina yang anti-establishment adalah biasanya terdiri dari mereka yang tinggal di bandar-bandar raya seperti Kuala Lumpur, Ipoh dan Penang .
Machap dan Ijok boleh dikategorikan sebagai kawasan-kawasan pinggir bandar yang memperlihatkan ciri-ciri luar bandarnya lebih terserlah dari ciri bandar Sekiranya di kawasan pinggir bandar sudah terdapat undi protes terhadap BN (sekitar 60%), kita dapat jangkakan peratusan protes pengundi Cina di bandar dan di bandar raya adalah secara logiknya adalah lebih tinggi.
Walaubagaimana pun, ketidaksetujuan mereka dengan BN tidak diperlihatkan secara yang emosional sebagaimana yang diperlihatkan oleh pengundi-pengundi dari kaum India.
Dalam kajiannya yang berjudul The Chinese Dilemma keluaran tahun 2003, Ye Lin-Sheng menyimpulkan beberapa penemuan penting yang boleh di anggap sebagai sikap politik kritis terkini pengundi Cina terhadap kerajaan BN.
Antaranya, sebagaimana yang telah kita sentuh, ialah berkaitan dengan DEB dan kemungkinan ianya diteruskan tanpa had masa. Apa yang menarik dalam hal ini ialah terdapat beberapa kenyataan (besar kemungkinan tidak resmi semasa pentadbiran Dr. Mahathir lagi) bahawa DEB telah pun diganti dengan Dasar Pembangunan Nasional (DPN) selepas 1990. Selepas itu ada pula kemyataan bahawa DPN diganti dengan Dasar Wasasan Negara (DWN) berteraskan gagasan Wawasan 2020 tajaan Dr. Mahathir.
Dasar Wawasan Negara mendapat sokongan yang kuat oleh Gerakan dan besar kemungkinan juga oleh MCA. Apabila Pak Lah mengambil alih pentadbiran negara bermula 31 Oktober 2003, Pak Lah berusaha keras untuk membebaskan diri beliau dari bayangan politik Mahathir; dan dalam proses menonjolkan identitinya yang tersendiri, maka tercicirlah DPN dan DWN dari landskap ekonomi negara.
Besar kemungkinan keciciran ini bukan disebabkan Pak Lah tidak setuju dengan DPN dan DWN tetapi beliau terpaksa mengalah kepada beberapa desakan dalam Umno sendiri, termasuk oleh Ketua Pemudanya dengan agenda politiknya yang tersendiri, agar DEB diteruskan.
Masyarakat Cina memerhati perubahan ini dengan rasa terkejut dan sudah semestinya cemas. Peristiwa ini mendorong masyarakat Cina membuat satu kesimpulan penting yang turut mencorak sikap politik mereka iaitu Pak Lah adalah seorang pemimpin negara yang lemah!!
Kesimpulan seterusnya yang dikemukakan oleh Ye Lin-Sheng adalah merujuk kepada faktor peminggiran politik (political peripheralisation) masyarakat Cina. Ini ada kaitan dengan hilangnya kuasa tawar-menawar politik masyarakat Cina khususnya oleh MCA dan Gerakan apabila berdepan dengan Umno yang begitu dominan.
Masyarakat Cina merasakan begitu kontang kuasa (powerless). Apa yang terbaik yang dapat mereka lakukan ialah mempertahan, bukan memperbaiki, kedudukan masyarakatnya. Masyarakat Cina, melalui MCA dan Gerakan, hanya mampu menjadi juara dalam arena yang terhad memperjuangkan hal-hal yang berkaitan dengan budaya dan pendidikan Cina.
Tidak lebih dari itu. Pengarang turut melontarkan pandangan apakah mungkin pada masa depan orang Cina (atau separa-Cina) dapat memegang jawatan Perdana Menteri Malaysia? Perkara ini telah berlaku di Thailand dan juga di Filipina.
Ia tidak mustahil boleh juga berlaku di Malaysia. Dari segi sejarah politik negara, persoalan orang Cina di beri jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri pernah berbangkit semasa pentadbiran Tun Abdul Razak. Cadangan ini di pandang sepi oleh Umno.
Sehingga kini cadangan ini nampaknya tidak berbangkit lagi atau lebih tepat tidak mampu dibangkitkan oleh parti politik Cina terutamanya MCA dan Gerakan. Bagi Ye Lin-Sheng, peluang ini boleh dibuka semula sekiranya masyarakat Cina mempunyai apa yang beliau sebut sebagai ‘to set a broader agenda and evolve a larger sense of purpose’. Satu agenda dan misi perjuangan hidup yang melangkaui daerah budaya dan pendidikan Cina yang bersifat perkauman itu.
Kesimpulan penting terakhir yang dirumus oleh Ye Lin-Sheng ialah merujuk kepada persoalan identiti masyarakat Cina. Pada peringkat awal kehadiran mereka di Tanah Melayu, kiblat ketaatan mereka masih lagi ke tanah besar China.
Selepas 50 tahun merdeka, adalah tidak wajar bagi masyarakat Cina yang dilahirkan di Malaysia masih lagi merujuk kepada tanah besar China sebagai sumber ilham. Jalan penyelesaian kepada dilemma Cina Malaysia mesti dicari di Malaysia sendiri.
Tidak ada pilihan lain. Ye Lin-Sheng mengakhiri perbincangan beliau dengan mengutip kata-kata oleh seorang warga kulit hitam Amerika yang coba mencari jalan penyelesaian yang dihadapi oleh masyarakat kulit hitam Amerika, di tanah besar Afrika.
Selepas mengalami kehidupan masyarakat Afrika, iaitu masyarakat datuk-neneknya, warga kulit hitam Amerika tersebut yang menulis buku berjudul Native Stranger menemui jawapan kepada permasalahannya bukan di benua Afrika tetapi di Amerika. Beliau menyimpulkan seperti berikut: "He is here to stay, so he will have to make it work or lose it all."
Menjayakan sebaik mungkin apa yang sedia ada atau hilang semuanya (make it work or lose it all) adalah juga pengajaran dan jalan keluar kepada dilemma yang dihadapi oleh masyarakat Cina Malaysia.
Menjayakan sebaik mungkin apa yang sedia ada dalam agenda dan tujuan yang lebih besar adalah kata kunci kepada sikap dan seterusnya tindakan politik majoriti masyarakat Cina dalam pilihan raya umum ke-12 ini.
Ini bererti mereka bersedia untuk keluar dari kepompong politik perkauman yang dirangka oleh parti politik seperti MCA yang perjuangan politiknya terbatas kepada persoalan budaya dan pendidikan Cina.
Persoalan-persoalan besar seperti pendemokrasian, hak asasi manusia yang melangkaui batasan perkauman dilihat sebagai sesuatu yang integral dalam politik Malaysia. Sungguhpun sebahagian besar masyarakat Cina tidak turut serta dalam perhimpunan dan perarakan aman oleh BERSIH pada tarikh keramat 20 November 2007, mereka turut bersimpati dengan tujuan perhimpunan itu diadakan.
Paling tidak mereka bersimpati dengan individu berjiwa gigih seperti Tian Chua dari PKR, yang datangnya dari kelompok mereka sendiri, yang keluar masuk penjara dan mahkamah semata-mata untuk menegakkan keadilan di bumi Malaysia yang tercinta ini.
Mereka turut bersimpati dengan kumpulan Hindraf yang memperjuangkan masalah berkaitan dengan peminggiran masyarakat India. Dalam hal peminggiran ini mereka (Cina dan India) mempunyai banyak persamaan. Atas dasar inilah mereka tertarik dengan ceramah Dato' Seri Anwar Ibrahim yang membangkitkan persoalan asas seperti rakyat bawahan yang tertindas dan terpinggir dalam arus pembanguan negara yang diburukkan dengan persoalan rasuah dan penyalahgunaan kuasa di kalangan pimpinan BN.
Sekiranya pada pertengahan tahun 2007, kajian oleh badan penyelidik seperti Merdeka Centre meletakkan sokongan masyarakat India terhadap pembangkang sekitar 60% dan Cina sekitar 45%, tetapi selepas berlakunya perhimpunan BERSIH dan Hindraf pada November 2007 sokongan masyarakat India kepada pembangkang melonjak naik sehingga 90% dan Cina paling tidak kepada 70%.
Cara kerajaan menangani perhimpunan aman anjuran BERSIH dan Hindraf telah menyebabkan kadar kelulusan (approval rating) masyarakat Malaysia secara umum terhadap Perdana Menteri turut menjunam. Kajian Merdeka Centre memberitahu kita approval rating Perdana Menteri selepas berlangsungnya perhimpunan aman BERSIH dan Hindraf ialah sekitar 61% turun 10% berbanding sebulan sebelumnya.
Karenah terkini oleh SPR berhubung penggunaan dakwat kekal turut menyumbang kepada kemaraan rakyat untuk membuat perubahan pada 8 Mac nanti. Berdepan dengan pelbagai isu yang melanda negara (seperti kos hidup yang meningkat dan keselamatan) yang terhasil dari kebokrokan kuasa yang ada pada Umno/BN, diyakini sokongan masyarakat Melayu kepada kerajaan juga turut merosot.
Berdasarkan kepada perubahan politik yang berlaku ini dan memahami hakikat bahawa sebahagian besar dari kawasan Parlimen dan Dun terdiri dari pengundi yang bercampur sifatnya, maka landskap politik Malaysia akan berubah secara radikal selepas berlangsungnya pilihan raya pada 8 Mac 2008 nanti. Bagi masyarakat Cina secara khususnya, politik Feng Shui telah berubah kepada politik tsunami.
Centre for Electoral Reforms Initiatives (CERI)
http://www.harakahdaily.net/index.php?option=com_content&task=view&id=13032&Itemid=90
No comments:
Post a Comment