KESAN pilihan raya umum (PRU) ke-12 Malaysia pada 8 Mac lalu terus mendapat sorotan antarabangsa. Masyarakat dunia cuba menilai setakat mana amalan demokrasi dapat ditampung dan dihormati di negara majmuk 25 juta jiwa itu. Ini kerana buat pertama kali dalam sejarah Malaysia, lima negeri di Semenanjung jatuh ke tangan pembangkang. Walaupun barisan pembangkang dikatakan sepadu sehingga membawa kemenangan besar, hal ini masih dapat dipertikai. Keretakan pada pembangkang mula ketara dalam menentukan kedudukan menteri besar Perak misalnya.
Dalam pada itu, persoalan penampungan yang lebih besar tentulah dalam melaksanakan dasar utama seperti Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang ditolak oleh Ketua Menteri Lim Guan Eng daripada Parti Tindakan Demokratik (DAP) yang memerintah Pulau Pinang. Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, sudah memberikan amaran bahawa isu DEB boleh mencetuskan kemarahan orang Melayu.
Hal ini memang serius kerana penjaluran kaum masih menentukan corak politik Malaysia walaupun kaum Melayu menyokong parti-parti pembangkang, termasuk DAP, baru-baru ini. Tindakan itu mungkin disebabkan keterlanjuran undi protes terhadap Barisan Nasional (BN) yang ditunjangi Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (Umno) selaku parti utama Melayu.
Tanpa tolak ansur dan kebijaksanaan mengatur keutamaan, pengurusan negara akan menjadi sukar. Malaysia amat menyedari prinsip sedemikian sejak kewujudannya sebagai negara merdeka lebih setengah abad. Sekalipun ingin membuktikan kemampuannya mentadbir Pulau Pinang lebih baik daripada Gerakan (parti komponen BN), DAP perlu berhati-hati demi mengelakkan luapan kemarahan rakyat. DEB pernah dinilai agak lapuk dan perlu juga disemak untuk menjana semangat berdikari bumiputera menurut azam meritokrasi. Walaupun ini suatu usaha penuh cabaran, ia perlu dilakukan secara bijaksana dan halus.
Setiap peristiwa ada hikmahnya. Mungkin kesan PRU ke-12 akan mendorong pelbagai penyesuaian sehingga meningkatkan kecekapan pentadbiran federal BN dan kerajaan negeri pembangkang. Ini disebabkan wujudnya kewaspadaan dalam mengatasi silap tadbir serta pelbagai cabaran semasa seperti kenaikan kos dan jenayah sehinggalah rasuah - sekali gus meningkatkan keberkesanan kerajaan Malaysia. Jika pencapaian ini dapat dijana, maka kesan amalan demokrasi Malaysia akan membawa kepada kematangan dan kesejahteraan, dan bukan sebaliknya.
Semua Kandungan dan Semua komen para pembaca pada blog ini bukan pandangan dan pendirian saya dan Saya tidak bertanggungjawab untuknya.
No comments:
Post a Comment