Oleh Rasid Rahaman
BARISAN Nasional (BN) kembali berkuasa selepas mendapat mandat pada Pilihan Raya Umum Ke-12, 8 Mac lalu. Walaupun keputusannya amat mengejutkan dengan Pulau Pinang, Kedah, Perak dan Selangor jatuh ke tangan pembangkang, manakala Pas kekal di Kelantan, BN yang diketuai Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi masih boleh terus memerintah negara ini bagi tempoh lima tahun akan datang.
Begitulah adat pertandingan ada yang menang dan yang kecundang. Tahniah kepada calon yang menang bagi mengisi 222 kerusi Parlimen dan 505 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN). Bagi yang tewas jangan putus asa kerana segala-galanya belum berakhir. Selagi proses demokrasi hidup subur mereka masih berpeluang untuk mencuba nasib pada masa depan.
Kebanyakan negeri sudah membentuk kerajaan masing-masing. Tindakan yang dilakukan dengan pantas dan cepat kerana ingin terus bekerja dan memberi khidmat kepada rakyat. Bagaimanapun, masih ada calon yang menang dan penyokong masih tersenyum lebar kerana kepuasan meraih kejayaan selepas berkempen habis-habisan.
Ada antara mereka tidak percaya boleh mencapai kemenangan, sebab itu dalam tempoh dua atau tiga minggu ini mereka dan hulubalang masih sibuk meraikan kemenangan dengan mengadakan majlis kesyukuran atau makan besar.
Biarpun begitu janganlah pula kerana terlalu asyik meraikan kemenangan hingga terlupa tugas sebenar sebagai wakil rakyat dan amanah yang dijunjung. Pilihan Raya Umum Ke-12 sebenarnya memberi banyak pengajaran bahawa kuasa rakyat tidak boleh dipermainkan.
Jangan menghampakan mereka. Pengundi menaruh harapan tinggi kepada semua YB atau Yang Berhormat sama ada daripada BN atau pembangkang untuk membela nasib mereka. Mereka memerlukan wakil rakyat yang prihatin dan berkhidmat tanpa mengira masa.
Utamakan keperluan mereka, jangan seksa mereka. Jadikanlah pengalaman Pilihan Raya Umum Ke-12 sebagai pengalaman berguna. Walaupun ramai yang beranggapan kekalahan teruk BN kerana beberapa isu nasional, sebagai wakil rakyat, mereka tidak seharusnya cuai menjalankan tanggungjawab.
Ingatlah, pengundi sekarang semakin bijak memilih. Pengundi tidak mahu diperlekehkan oleh mereka yang hanya menjadi bos kepada rakyat. Sebelum menang pilihan raya, janji itu dan ini.
Rakyat boleh telefon mereka 24 jam, tetapi bila sudah menang, janji-janji betulkan jalan, bina jambatan baru, rumah ibadat dan lain-lain lagi tidak nampak bayang untuk ditunaikan. Pengundi mahukan calon yang mendahulukan kehendak rakyat, bersifat mesra rakyat dan bukan bersifat angkuh dengan kuasa yang diberikan kepada mereka.
Yang pasti, pada pilihan raya umum yang dianggap paling mencabar kepada BN kali ini, ramai calon muka baru yang mencapai kemenangan. Muka baru biasanya lebih bertenaga, manakala idea pasti melimpah ruah untuk memakmurkan rakyat yang diwakili mereka. Kini tugas berat sedang menanti mereka, masa untuk mereka untuk 'berpesta' sudah tidak ada lagi. Mereka seharusnya menunaikan janji mereka ketika berkempen dulu.
Jadilah pemimpin berjiwa rakyat. Seperti kata seorang penulis, pemimpin berjiwa rakyat ini ibarat sebuah 'ladang kelapa sawit' yang memberikan hasil lumayan dengan harga yang tinggi dan pengundi sebagai tuan punya ladang. Jangan jadi pemimpin sakit jiwa yang menukarkan 'ladang kelapa sawit' dengan tanaman lain yang hanya menguntungkan pemimpin dan pengikutnya. Rakyat tidak mahu wakil rakyat hanya mengutamakan kepentingan keluarga dan pengikutnya hingga mengatasi perasaan keluh-kesah rakyat. Jangan jadi mangsa sama ada digugurkan pemimpin atasan atau dibuang rakyat melalui undi pada Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.
http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Sunday/Rencana/20080315233807/Article/
Semua Kandungan dan Semua komen para pembaca pada blog ini bukan pandangan dan pendirian saya dan Saya tidak bertanggungjawab untuknya.
No comments:
Post a Comment