Oleh Ridzuan Yop
KEMELUT politik Perak nampaknya sudah berjaya diselesaikan. Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Pas akhirnya mencapai kata sepakat untuk membincangkan semula pembahagian kerusi Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) selepas majlis angkat sumpah Menteri Besar Perak Ke-10, yang dijangka diadakan Isnin ini.
Namun, sama ada disedari atau tidak, kemelut itu juga dijangka membuka lembaran sejarah baru bagi negara kita. Kekusutan yang berlaku di Perak itu mencetuskan polemik baru dalam dunia politik serta kaitannya dengan Perlembagaan dan undang-undang.
Kini sudah ada suara yang menimbulkan persoalan itu. Apakah Perlembagaan Persekutuan dan negeri selepas ini perlu dipinda bagi membolehkan mana-mana parti yang memperoleh jumlah kerusi terbanyak dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) dibenar membentuk ‘kerajaan minoriti’.
Selama ini iaitu berdasarkan tuntutan Perlembagaan yang ada berikutan Malaysia mengamalkan sistem demokrasi ala Westminster, mana-mana parti yang mempunyai majoriti mudah boleh membentuk kerajaan.
Tetapi bagaimana jika parti yang bertanding dan menang itu tidak mempunyai jumlah kerusi yang cukup untuk membentuk kerajaan melalui majoriti mudah?
Ini berlaku di Perak selepas Pilihan Raya Umum ke-12 Sabtu lalu dan sukar menubuhkan kerajaan negeri apabila tidak ada satu parti pun yang berjaya menang dengan majoriti mudah.
Pembangkang yang menang beberapa kerusi, tidak mampu membentuk kerajaan negeri kerana DAP menang dengan 18 kerusi, manakala Pas (enam kerusi) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) tujuh kerusi.
Mengikut peraturan penubuhan sesebuah kerajaan negeri, setiap parti perlu menang dengan majoriti mudah iaitu sekurang-kurangnya 30 daripada 59 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Perak. BN mempunyai 28 kerusi, cuma kurang dua untuk memperoleh majoriti mudah.
Walaupun DAP, Pas dan PKR bergabung, pakatan itu tetap tidak sah mengikut undang-undang kerana tidak ada satu dokumen perjanjian hitam putih antara mereka yang menyatakan mereka adalah pakatan pembangkang berdaftar seperti yang dilakukan Barisan Nasional (BN) yang sememangnya berdaftar.
Ini bukan untuk menidakkan keputusan pilihan raya dan mandat yang diberi oleh rakyat tetapi polemik ini, wajar diperdebatkan. Malah, tulisan ini juga bukan berniat untuk mendesak agar Menteri Besar dilantik di kalangan orang BN kerana mempunyai ‘majoriti’ 28 kerusi sebagai parti tunggal terbanyak, berbanding yang kedua terbanyak iaitu DAP (18), apatah lagi dengan kerusi lebih sedikit dimenangi Pas dan PKR.
Namun, perlembagaan negeri, malah Perlembagaan Persekutuan sekali pun tidak memberi sebarang peruntukan bagi membolehkan parti tunggal yang mendapat paling banyak kerusi, untuk memerintah dengan kaedah ‘kerajaan minoriti’.
Malah, Perlembagaan juga senyap dalam isu soal ‘pakatan’ atau ‘gabungan’ parti. Sekiranya Perlembagaan menyatakan bahawa hanya pakatan berdaftar secara rasmi boleh membentuk kerajaan campuran bagi memperoleh majoriti mudah, maka BN saja yang berdaftar berupaya berbuat demikian. Pakatan pembangkang setakat ini tidak berdaftar secara rasmi, tetapi Perlembagaan ‘senyap’ mengenai perkara ini.
Bagi membuktikan tidak wujud pakatan yang benar-benar ‘berpakat’ apatah lagi untuk berdaftar ialah apabila majlis angkat sumpah Menteri Besar Perak ke-10 yang sepatutnya berlangsung di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar, kelmarin tidak dapat dilakukan kerana wujudnya percanggahan pendapat antara mereka terutama membabitkan pembahagian kerusi Exco.
Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Seri Dr Rais Yatim yang pakar perundangan Perlembagaan ketika dihubungi Berita Harian, berkata pembentukan kerajaan negeri tidak wajar dilihat sebagai sesuatu yang remeh, sebaliknya ia perlu diperhalusi dalam aspek perundangan.
Beliau berkata, Sultan Perak berkuasa penuh untuk menentukan siapa yang berhak membentuk kerajaan negeri, khususnya yang menang dengan majoriti mudah.
Dr Rais yang mendapat Ijazah Doktor Falsafah (PhD) Undang-Undang Awam dari University of London, United Kingdom, berkata jalan keluar kepada kemelut membentuk kerajaan negeri di Perak adalah memilih parti yang menang majoriti lebih besar berbanding parti lain.
“Dalam konteks di Perak adalah jelas BN menang dan mengatasi parti lain sama ada DAP, Pas dan PKR dalam jumlah kerusi yang dimenanginya, berbanding parti lain,” katanya dan menyatakan perkara itu jelas mengikut Konvensyen Komanwel dan ‘Common Law’.
Beliau berkata, jumlah kerusi yang dimenangi DAP, PKR dan Pas di Perak tidak boleh dilihat sebagai majoriti mudah kerana pakatan itu tidak bertindak sebagai satu gabungan parti yang berdaftar.
Sehubungan itu, katanya, Sultan Perak, berhak penuh melantik Menteri Besar di kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) BN yang menang lebih kerusi berbanding parti pembangkang lain. Dr Rais berkata, selain itu, pakatan pembangkang yang mahu membentuk kerajaan negeri campuran di Perak dan juga Selangor tidak mendaftar pakatan mereka melalui Akta Pertubuhan 1966.
“Tetapi pakatan komponen BN jelas dilakukan melalui akta yang sama dan diiktiraf sebagai gabungan parti yang sah,” katanya. Bagaimanapun, beliau tidak menafikan akan wujud kesukaran dalam meluluskan sesuatu usul dalam sidang DUN, jika kerajaan negeri terdiri tidak mempunyai majoriti dua pertiga atau majoriti mudah.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan jika BN Perak dapat berpakat dengan parti minoriti lain bagi membentuk kerajaan negeri, tetapi perlu ada satu dokumen perjanjian yang sah mengenai perkara itu.
Masalah itu, jelas diketahui oleh pembangkang apabila Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa, dalam sidang media selepas pembentukan kerajaan campuran itu, berkata ketiga-tiga parti Pas, DAP dan PKR kini dalam proses mempercepat penubuhan secara formal gabungan tiga parti di bawah nama Barisan Alternatif (BA).
Rabu lalu, Sultan Perak, Sultan Azlah Shah memperkenankan Adun Pasir Panjang Mohammad Nizar Jamaluddin, 51 yang juga Setiausaha Badan Perhubungan Pas Perak, dilantik sebagai Menteri Besar Perak ke-10.
Selain Mohammad Nizar, Sultan Perak turut memperkenankan Pengerusi DAP Perak, Ngeh Koo Ham yang juga Adun Sitiawan sebagai Timbalan Menteri Besar 1, manakala Adun Hutan Melintang, S Kesavan dari PKR sebagai Timbalan Menteri Besar 2 mewakili keturunan India.
Penasihat Gerakan, Datuk Seri Dr Lim Keng Yaik, berkata BN yang memenangi 28 kerusi DUN di Perak sepatutnya dibenarkan menubuhkan kerajaan minoriti, tetapi DAP memutar-belit orang ramai dengan menubuhkan kerajaan campuran bersama Pas dan PKR.
“DAP juga tidak menghormati Tuanku (Sultan Perak) dengan cuba menubuhkan kerajaan campuran (bersama Pas dan PKR),” katanya.
Apapun, jika kerajaan campuran dibentuk, rakyat dan penyokong masing-masing akan melihat dan menilai siapa yang memegang tampuk kuasa sama ada Menteri Besar Pas atau barisan Exco di kalangan DAP atau PKR.
Semua Kandungan dan Semua komen para pembaca pada blog ini bukan pandangan dan pendirian saya dan Saya tidak bertanggungjawab untuknya.
No comments:
Post a Comment