2008-04-08

Shafee berdendam pada saya'

Apr 8, 08 11:16am


Bekas ketua pengarah Badan Pencegah Rasuah (BPR) berdendam kepada saya, kata Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini - menjawab keterangan Datuk Shafee Yahya lapan tahun lalu.


Dalam suratnya kepada The Sun, mantan perdana menteri berkata keterangan Shafee dalam perbicaraan bekas timbalannya Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2000 "tidak terlalu banyak membantu Anwar. Tetapi ia memang memburukkan nama baik saya."


"Saya bukan pihak yang terbabit dalam perbicaraan (kes liwat) Anwar. Jika saya ingin dituduh, saya sepatutnya diizinkan berpeluang membela diri.


"Tetapi jelas sekali Shafee melihat perbicaraan Anwar sebagai satu peluang mengeluarkan kenyataan yang boleh merosakkan nama baik saya.



"Shafee seorang lelaki pemarah dan apa yang dia sampaikan di mahkamah bersifat mengambil kesempatan dan nampaknya mencerminkan hasratnya untuk membalas dendam terhadap saya," suratnya dipetik.



"Sesuatu kenyataan boleh sahaja keterangan bersumpah di mahkamah tetapi ketepatan tidak boleh diterima tanpa dipersolkan. Ada perkara-perkara yang diabaikan dan andaian yang mengelirukan," katanya.



"Saya mengaku memanggil Shafee (ke pejabat saya) untuk menanyakannya tentang serbuan BPR di pejabat pengarah Unit Perancangan Ekonomi (EPU).



"Saya memanggilnya kerana saya menerima aduan daripada pengarah itu (di Jabatan Perdana Menteri) yang mendakwa BPR bersikap kasar terhadapnya ketika serbuan tersebut.



"Beliau (pengarah EPU) juga percaya timbalan perdana menteri dan menteri kewangan (waktu itu) menyusun semua itu," tulis Dr Mahathir dalam surat berjudul 'Call for apology is stupid: Dr M'.




mahathir malaysiakini interview 070207Menurutnya, beliau bertanya lebih banyak soalan daripada yang disebut Shafee di mahkamah lapan tahun dulu bagi memastikan sama ada kebenaran aduan pengarah EPU tersebut, termasuk dakwaan arahan Anwar.



"Beliau (Shafee) menafikannya tetapi beliau naik berang ketika saya bertanya sama ada beliau berhasrat meneruskan siasatannya. Dengan meninggikan suaranya, beliau menuduh saya cuba menghalangnya menjalankan tugas.



"Dengan marah, beliau menyatakan beliau seorang pegawai kanan kerajaan dan saya tidak berhak mempertikaikan bidang tugasnya.





"Saya terperanjat besar mendengar tuduhan lantangnya itu terhadap saya. Tiada seorang pegawai kerajaan setinggi mana pun pernah bercakap dengan saya seumpama itu.



"Saya tiba-tiba terdiam," tambah Dr Mahathir, menceritakan saat-saat terjadi ketegangan antara mereka berdua yang pernah menjadi asas keteranan Shafee di mahkamah.




Dr Mahathir menjawab desakan bekas pegawai khas Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) Datuk Param Cumaraswamy minggu lalu agar keterangan Shafee itu dijadikan asas siasatan.



Param, dan beberapa pihak lain termasuk pengerusi DAP Karpal Singh, pula membuat desakan itu susulan kenyataan awal Dr Mahathir - juga melalui sekeping surat kepada The Sun tanggal 28 Mac - yang menyatakan kesediaan bekerjasama dengan pihak berkuasa berhubung siasatan sebarang "kesalahan" selama 22 tahun sebagai perdana menteri.



Kecuali ada penganiayaan, kata Dr Mahathir dua minggu lalu, tiada sebarang kesalahan yang dilakukannya sepanjang tempoh tersebut.



Beliau menambah, rakyat "tidak yakin" dengan siasatan yang dijalankan oleh agensi dan jabatan kerajaan kerana mereka mendakwa berlaku campur tangan.



"Untuk membersihkan namanya, kerajaan perlu mendapatkan khidmat agensi asing yang berwibawa untuk menjalankan siasatan. Tentulah, mereka (agensi asing itu) mesti diberi akses sepenuhnya terhadap dokumen dan lain-lain," kata Dr Mahathir, mengulas isu peranan Raja-raja Melayu dalam pelantikan menteri besar dan juga gesaan menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mohd Zaid Ibrahim, agar kerajaan memohon maaf kepada hakim-hakim yang menjadi mangsa krisis 1988.



mahathir general generic smile smiling happy 011106Dalam surat terbarunya, Dr Mahathir berkata: "Saya mengalu-alukan sebarang siasatan (terhadap saya) oleh pihak yang bebas tentang kebenaran atau sebaliknya yang terkandung dalam surat ini.



"Bagi Param Cumarawamy dan Karpal Singh, kebencian mereka terhadap saya memang sudah diketahui umum dan nyatalah tidak surut-surut walaupun setelah saya tidak lagi menjadi perdana menteri."



Katanya lagi, ramai peguam marah kepadanya kerana beliau pernah memetik Shakespeare di satu mesyuarat kabinet yang berbunyi, "pertama pertama yang kita akan lakukan, kita gantung semua peguam".

"Saya hanya bergurau tetapi mereka terdengar dan benar-benar percaya bahawa saya memang bermaksud begitu.



"Hakim-hakim juga rasa tidak senang terhadap saya. Tambahan pula, saya pernah mengkritik badan kehakiman kerana mengabaikan niat atau matlamat undang-undang yang digubal oleh badan legislatif tetapi menafsirkannya menurut perkataan yang digunakan," kata Dr Mahathir.



"Apakah yang telah melakukan satu jenayah apabila berkata sedemikian? Saya hanya menyatakan fakta. Tidak bolehkah seseorang mengulas badan kehakiman sama sekali ketika mereka membelakangkan kepentingan negara ini?



"Di banyak negara maju, menjadi perkara biasa orang ramai mengkritik badan kehakiman.



"Tentang Param pula, beliau kenyataan yang bersifat menfitnah terhadap seorang warga Malaysia ketika beliau menjadi pegawai khas di PBB.



"Beliau sepatutnya diseret ke mahkamah Malaysia tetapi beliau mendakwa kebal daripada tindakan perundangan kerana pelantikannya dibuat PBB."



http://www.malaysiakini.com/news/81029

Semua Kandungan dan Semua komen para pembaca pada blog ini bukan pandangan dan pendirian saya dan Saya tidak bertanggungjawab untuknya.

No comments: