2008-04-09

Kelulusan projek ternak babi satu penghinaan

Rencana Pengarang


Masyarakat Islam pasti terkejut apabila mesyuarat Exco Selangor pada Rabu lepas meluluskan projek ternakan babi moden bernilai RM100 juta di Sepang.



Umat Islam tentu ingin tahu motif Kerajaan Negeri Selangor seolah-olah tidak sabar hendak menjalankan projek ladang ternakan babi itu.



Tidak cukupkah ladang ternak babi di setiap negeri untuk bekalan kepada kaum Cina di negara ini?



Kerajaan negeri pimpinan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim perlu melihat projek ini dari aspek sensitiviti masyarakat setempat, sentimen politik dan alam sekitar.



Kenapa projek ini dilaksanakan di Sepang yang dihuni majoritinya Melayu? Tidak cukupkah kes wabak penyakit bawaan babi Japanese Encephalitis (JE) dan pencemaran sungai di kawasan Bukit Pelanduk iaitu kawasan jiran Sepang?



Rakyat Selangor dan umat Islam di negara ini pasti tertanya-tanya, kenapa barisan Exco Selangor yang beragama Islam baik dari PKR mahupun Pas, dengan begitu mudah menyokong projek ternakan haiwan yang diharamkan oleh agama kita. Apa sudah jadi kepada pemimpin Islam Pas dan PKR?



Jangan kerana mahu menunjukkan kesepakatan dalam kerajaan campuran Pakatan Rakyat sehingga sanggup meluluskan projek yang jelas hanya menguntungkan satu kaum sahaja.



Sudah tentu projek ini tidak akan membuka peluang perniagaan dan pekerjaan kepada orang Islam?



Jangan kerana pihak swasta yang akan membiayai projek ini, maka tanpa banyak bicara ia boleh diluluskan dengan menafikan suara-suara rakyat Sepang dan keperluan-keperluan asas yang lain.



Sultan dan rakyat Selangor yang telah memberi mandat kepada kerajaan negeri sekarang pasti terkilan dan amat kecewa dengan tindakan pemimpin negeri ini.



Jangan Pakatan Rakyat cuba mengambil kesempatan untuk mengocakkan sentimen rakyat yang telah memilih pemimpin kerajaan itu untuk melakukan sesuka hati dalam penggal pemerintahannya di Selangor.



Kerajaan negeri sepatutnya tidak menghancurkan keyakinan rakyat Selangor yang baru satu bulan memberi keyakinan kepada Pakatan Rakyat yang diharap-harapkan akan membawa perubahan dalam pentadbiran sebagaimana janji-janji dalam manifesto.



Biarpun pemimpin Pakatan Rakyat ingin membawa masuk teknologi canggih menternak babi mengikut piawaian antarabangsa, tetapi dapatkah mereka menjamin teknologi itu tidak menimbulkan masalah pencemaran, sensitiviti masyarakat dan industri pelancongan di daerah Sepang.



Anggota Exco Selangor perlu diingatkan jika ingin menjadi hero kaum Cina, jangan sampai melupakan sensitiviti kaum majoriti negeri ini. Mereka harus sedar diri bahawa mereka mendapat kuasa atas pilihan rakyat.



Rakyat masih menantikan janji-janji pilihan raya yang masih belum ditunaikan.



Kelulusan projek penternakan babi itu bagaikan satu penghinaan kepada umat Islam setelah memberi mandat kepada Pakatan Rakyat.


http://www.utusan.com.my/utusan/arkib.asp?y=2008&dt=0409&pub=utusan_malaysia&sec=rencana&pg=re_03.htm&arc=hive


Semua Kandungan dan Semua komen para pembaca pada blog ini bukan pandangan dan pendirian saya dan Saya tidak bertanggungjawab untuknya.

No comments: