2008-04-09

Pas ‘talam dua muka’


SEPANG 8 April – Penduduk Kampung Tumbuk di sini yang dikatakan bakal dijadikan lokasi projek penternakan babi moden di Selangor hairan dengan tindak tanduk Pas yang seolah-olah bersikap ‘talam dua muka’ dalam isu tersebut.



Ahli jawatankuasa belia Kampung Tumbuk, Mohd. Asmawi Mohd. Tarmudi berkata, ini kerana tindakan tiga wakil Pas dalam kerajaan campuran Selangor menyokong projek bernilai RM100 juta jelas bertentangan dengan prinsip parti itu yang menentang projek tersebut semasa kempen pilihan raya umum baru-baru ini.



‘‘Masa kempen, mereka dengan lantang tolak dan tuduh Barisan Nasional (BN) sokong (projek ternak babi) tetapi hari ini nampaknya mereka yang sokong. Siapa yang bersifat talam dua muka di sini,” katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.



Bagi membuktikan dakwaan itu, beliau menunjukkan risalah yang digunakan oleh Pas dalam kempen Pilihan Raya Umum ke-12 bagi membantah cadangan pembinaan pusat penternakan babi itu.



Antara lain risalah yang diedarkan Pas itu menyebut: Teknologi dari Jerman, yang terbesar di Asia. Bersih, bau tak ada, katanya. Tapi ‘babee’ tetap najis! Buat apa ternak kat sini. Tempat lain tak ada? Yang tak ada orang duduk. Sementara ada peluang sekarang, gunakanlah. Jangan diperbodohkan lagi oleh yang penting perut sendiri.



Mengulas lanjut, Mohd. Asmawi berkata, dalam isu itu, siapakah yang mementingkan perut sendiri?



Semalam, semua tiga Anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Selangor dari parti Pas menjelaskan bahawa mereka tidak menghalang pelaksanaan projek ladang penternakan babi bernilai RM100 juta di Sepang.



Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan negeri, Dr. Halimah Ali berkata, Pas menyokong projek itu selagi ia tidak mencemarkan alam sekitar.



‘‘Kita tidak ada masalah, kita sokong. Kita orang Islam hanya diharamkan daripada memakan daging babi tetapi orang bukan Islam pula mereka makan babi. Itu hak mereka. Kita sangat rasional untuk kegunaan mereka,” katanya.



http://www.utusan.com.my/utusan/arkib.asp?y=2008&dt=0409&pub=utusan_malaysia&sec=dalam_negeri&pg=dn_04.htm&arc=hive

Semua Kandungan dan Semua komen para pembaca pada blog ini bukan pandangan dan pendirian saya dan Saya tidak bertanggungjawab untuknya.

No comments: