2008-04-09

Ketua Pemuda: Khairy ambil kesempatan saingan Dr Khir, Mukhriz

Wan Nordin Wan Yaacob
Wed | Apr 09, 08 | 11:59:25 am MYT


KUALA LUMPUR, 9 April (Hrkh) - Menantu Perdana Menteri, Khairy Jamaluddin adalah orang paling bertuah ketika ini apabila bekas Menteri besar Selangor, Dr Mohd Khir Toyo dan Mukhriz Mahathir mengumumkan tidak menolak kemungkinan untuk bertanding jawatan Ketua Pemuda Umno.



Apa tidaknya kata sumber, perpecahan antara kelompok yang tidak 'sehaluan' dengan Khairy bakal memberi kelebihan kepada menantu Perdana Menteri itu dalam menyusun strateginya memastikan beliau menggantikan Hishamuddin Tun Hussien sebagai Ketua Pemuda.



Sumber berkata, jika Mukhriz dan Khir Toyo bergabung dan membenarkan hanya salah seorang daripada mereka menentang Khairy atau calon proksinya dalam pemilihan Disember ini, persaingan pastinya sengit.



Namun ada sumber pula menyatakan Khairy sendiri tidak berani menawarkan diri untuk bertanding jawatan Ketua Pemuda ekoran kekalahan teruk Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum 8 Mac.



Sebaliknya akan menggunakan proksinya yang diketahui ramai (Dato' Norza Zakaria) untuk duduk seketika di kerusi panas itu sementara Khairy meneruskan kempen memperbaiki sokongan akar umbi pemuda ke atasnya.



Khairy pula mencetuskan kontroversi apabila beliau didakwa menyampaikan ucapan yang dikatakan memperlekeh sumbangan sayap-sayap Pemuda komponen lain BN.



Selain itu nama Menteri Belia dan Sukan, Dato' Ismail Sabri Yaakob yang pernah aktif sebagai exco Pemuda Umno satu ketika lalu turut dikaitkan sebagai proksi Khairy.



Hal ini diperkatakan ramai di kalangan pergerakan pemuda Umno bahagian dan di peringkat tinggi yang merasakan kuasa Khairy masih berterusan sekalipun jika beliau tidak bertanding untuk kali ini.



"Sudah pastinya, semua percaturan telah dibuat Khairy, namun dalam jangka masa lapan bulan dari tarikh pemilihan, segalanya boleh berlaku, kerana Kahiry amat dikenali sebagai 'opportunist' dalam pergerakan Pemuda Umno," kata sumber yang juga salah seorang ahli pergerakan pemuda Umno. - mks.


http://www.harakahdaily.net/index.php?option=com_content&task=view&id=13805&Itemid=28

Semua Kandungan dan Semua komen para pembaca pada blog ini bukan pandangan dan pendirian saya dan Saya tidak bertanggungjawab untuknya.

No comments: