Oleh Zailan Mohamad
Gambar oleh Zainul Asri Mohamad Razali
KUALA LUMPUR - Sejarah membuktikan, proses peralihan kuasa kepimpinan di dalam parti UMNO dan kerajaan sentiasa berjalan dalam keadaan sempurna serta tanpa menimbulkan keadaan yang boleh menimbulkan perpecahan dalam parti.
Memetik kata-kata Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak, kaedah pelan peralihan kuasa antara beliau dengan Perdana Menteri, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi sudah ditentukan tetapi ia perlu dirundingkan dengan sebaik-baiknya.
Beliau yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata, selaku Presiden parti, Dato’ Seri Abdullah telah pun membuat kenyataan dan pengakuan secara terbuka mengenai perkara itu dan semua pihak mesti memberi masa serta tempoh kepadanya untuk menentukan tindakan lanjut.
“Berilah peluang untuk beliau (Perdana Menteri) memperbetulkan beberapa perkara yang pada pendapatnya perlu dilakukan.
“Biar kita tentukan, kita ada cara dalaman dalam parti.
“Kita akan menentukannya (sebab) kita ada pengalaman dan tradisi UMNO,'' kata beliau.
Beliau juga berkata, Perdana Menteri mempunyai kebijaksanaan untuk menentukan tempoh yang sesuai bagi peralihan kuasa yang licin demi kebaikan parti dan negara.
Dalam perkembangan yang sama, Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Muhammad Muhd Taib pula berpesan kepada semua pemimpin UMNO agar berhenti membincangkan isu mengenai perletakan jawatan Perdana Menteri, sebaliknya membiarkan ia diselesaikan oleh Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Timbalannya, Dato’ Seri Najib Tun Razak.
Beliau yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah berkata, perbuatan membincangkan isu peralihan kuasa secara terbuka harus dihentikan kerana ia hanya merosakkan UMNO dan menghancurkan perpaduan orang Melayu.
"Saya harap pada kali ini, tradisi UMNO juga tradisi orang Melayu, tradisi pindah kuasa ini hendaklah dilakukan secara elok, terhormat dan berbudaya bukannya dengan cara mendesak, berkempen menyeru Perdana Menteri letak jawatan," katanya.
Dalam pada itu, Ketua UMNO Bahagian Ranau, Datuk Masidi Manjun berkata, peralihan pucuk pimpinan UMNO pada masa sekarang tidak menjanjikan setiap masalah dapat ditangani dengan baik, kerana tumpuan pada masa ini sepatutnya kepada usaha mengkaji serta membaiki kelemahan yang ada.
Katanya, fokus UMNO sekarang ialah untuk memulihkan kekuatan parti dan bukan menukar pemimpin atasan kerana hanya kehilangan sedikit sokongan atau kepercayaan rakyat pada pilihan raya umum lalu.
"Memaksa pemimpin berundur dengan anggapan ia dapat menyelesai masalah, hanya mencerminkan sikap kita yang suka mengambil jalan pintas apabila berhadapan dengan masalah," katanya.
Pengerusi Majlis Veteran UMNO, Datuk Tajudin Ali berkata, para pemimpin dan ahli UMNO tidak layak untuk menggesa Perdana Menteri berundur kerana mereka tidak mengetahui apa yang sedang berlaku sebenarnya di dalam parti.
Walaubagaimanapun, Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Dato’ Seri Dr. Rais Yatim berkata, jika pelan peralihan kuasa diumumkan, para pemimpin di peringkat akar umbi akan mengetahui bilakah ia terjadi dan ia baik untuk menstabilkan parti.
Menurutnya, perkara itu penting bagi membolehkan pemimpin UMNO dan Barisan Nasional (BN) di peringkat akar umbi mengetahui perkara sebenar termasuk tempoh waktu pelan peralihan.
Katanya, pelan peralihan kuasa itu juga baik untuk menstabilkan parti bagi menghadapi cabaran masa depan terutama dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang.
''Saya rasa sekiranya pelan peralihan kuasa diumumkan, para pemimpin akan mengetahui bila ia akan dilaksanakan dan ia baik untuk menstabilkan parti.
''Sehubungan itu, ahli UMNO di peringkat akar umbi juga perlu dibenarkan untuk memperkatakan apa jua yang mereka ingin katakan," jelasnya yang juga Menteri Luar.
Dalam isu yang sama, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Johor, Razali Ibrahim berkata, proses peralihan kepimpinan parti perlu dilakukan secara tertib dan berhemah bagi memperkukuhkan lagi UMNO secara keseluruhannya.
"Sudah menjadi amalan orang Johor (UMNO), kita tidak pernah diajar untuk menjadi penentang atau pendesak semata-mata untuk menjatuhkan air muka pemimpin.
"Pendekatan dan cara yang kita guna pakai adalah secara berhemah khususnya dalam menghadapi kemelut dan isu-isu nasional," katanya yang juga merupakan Ahli Parlimen Muar.
http://www.irc-malaysia.com/webserver/umnoonline/readNews.asp?newsid=1904
Semua Kandungan dan Semua komen para pembaca pada blog ini bukan pandangan dan pendirian saya dan Saya tidak bertanggungjawab untuknya.
No comments:
Post a Comment