2008-04-18

‘Jangan Campuri Hal Dalaman Orang Lain’ - Nasihat Kepada DAP

4


Oleh Mohd Izad Yazri



PERKATAAN ‘busy body’ dan ‘jaga kain tepi orang lain’ sering digambarkan perilaku seseorang yang suka mengambil tahu dan seterusnya mencampuri urusan orang lain tanpa kerelaan tuan punya badan dalam erti kata lain tanpa keizinan.



Begitulah yang boleh digambarkan kepada Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP), Karpal Singh dalam kenyataannya kepada media mencadangkan supaya Tun Dr. Mahathir Mohamad dirujuk kepada Lembaga Disiplin UMNO.



Alasannya ialah bekas Perdana Menteri yang juga bekas Presiden UMNO itu masih ahli parti dan tindakan mengkritik Perdana Menteri, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi bertentangan dengan disiplin parti.



Jika diimbas kembali, Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-12 lalu, pakatan pembangkang memperolehi 82 kerusi Parlimen di mana Parti Keadilan Rakyat (PKR) 31, DAP 28 dan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) 23, manakala Barisan Nasional (BN) yang dilanda ‘tsunami politik’ mendapat kurang lapan kerusi daripada majoriti dua pertiga iaitu 140 kerusi.



Kejayaan DAP menguasai Pulau Pinang dan berkongsi memerintah Perak dan Selangor bersama PKR dan PAS telah berjaya memperjuangkan kepentingan satu bangsa sahaja dengan memansuhkan Dasar Ekonomi Baru (DEB), menghakmilikkan tanah dan membela babi seolah-olah memberi kekuatan kepada mereka untuk menyuarakan apa sahaja isu.



Selepas mencatat keputusan yang agak memberangsangkan pada PRU lalu, DAP kelihatan mula menampakkan ‘belangnya’ termasuk mencampuri urusan parti lain terutama UMNO.



Umpama ‘masuk rumah orang lain tanpa minta kebenaran’, beliau tanpa segan silu menegur dan mencampuri hal ehwal dalaman UMNO yang mana secara langsung menunjukkan beliau sebenarnya takut kepada parti tersebut yang majoritinya mewakili orang Melayu itu kukuh dan bersatu padu.



Dan persoalannya sekarang, mengapa kini Karpal begitu berminat dengan perkembangan dalaman UMNO, sedangkan sebelum ini biar runtuh pun parti itu dia tidak pernah ambil peduli.



Hanya beliau yang mampu memberi jawapannya dan sudah pasti mempunyai motif di sebalik tindakannya itu.



Tidak mungkin Karpal yang dikenali watak peguamnya dan cukup berpengalaman dalam politik negara membuat kenyataan sekadar pemanis mulut tanpa mempunyai maksud yang terselindung.



Apa yang pasti, Karpal secara terang-terangan telah mencampuri urusan dalaman UMNO dan cuba mendahului pemimpin-pemimpin dalam UMNO berhubung isu yang membabitkan kritikan Dr. Mahathir.



Sebaiknya kini ahli Parlimen Bukit Gelugor bersama anaknya, Gobind Singh Deo yang juga merupakan ahli Parlimen Puchong berbincang dengan Nik Aziz bagaimana cara untuk menerima idealogi masing-masing yang jelas tiada titik pertemuan tanpa perlu melangkah mayatnya dahulu.



Adalah lebih baik juga sekiranya Karpal Singh menjaga tingkah laku anak-anak buahnya yang sesuka hati keluar masuk parti yang wajar dikenakan tindakan daripada lembaga disiplin parti itu.



Maka, lebih baik lagi jika kepimpinan parti itu juga mengambil tindakan terhadap wakil-wakil rakyat mereka yang tanpa segan silu mencipta populariti murahan menuduh BN membeli mereka dengan tawaran berpuluh-puluh juta ringgit.



Parti sendiri yang penuh dengan masalah tidak mahu dicerminkan dahulu, tetapi lebih sibuk mahu ‘jaga tepi kain’ parti lain.



Sewajarnya pihak pembangkang jangan ingat dengan kuasa yang ada itu berkekalan jika mereka sentiasa mengeluarkan kenyataan yang langsung tidak mencerminkan kecelikan minda mereka dalam membuat sebarang tindakan.



Ini jelas dengan kenyataan Ketua UMNO Bahagian Cheras, Dato’ Syed Ali Al Habshee yang membidas sebuah akhbar tempatan berbahasa Inggeris kerana menyiarkan laporan anggota parti pembangkang termasuk Dato’ Seri Anwar Ibrahim memperlekehkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.



Tambah beliau lagi, daripada maklum balas yang diperoleh, rakyat terutama orang Melayu tidak dapat menerima perbuatan terus menghentam dan menghina Dr. Mahathir dan menambah bahawa perbuatan ini hanya menimbulkan kemarahan mereka terhadap kerajaan.



"Kita harus berhati-hati agar tidak diperalatkan oleh mana-mana pihak untuk menimbulkan perasaan tidak senang atau marah kepada kerajaan," katanya.



http://www.irc-malaysia.com/webserver/umnoonline/readNews.asp?newsid=1901

Semua Kandungan dan Semua komen para pembaca pada blog ini bukan pandangan dan pendirian saya dan Saya tidak bertanggungjawab untuknya.

No comments: