DUNIA Islam memarahi ahli Parlimen Belanda, Geert Wilders atas fitnah yang dilontarkan kepada umat Islam. Justeru, umat Islam dipanggil untuk memboikot barangan Belanda untuk menyatakan perasaan mereka. Tidak ketinggalan di Malaysia.
Ironinya ketika menyatakan kemarahan terhadap penghinaan itu, pemimpin Islam dan Melayu yang menerajui kerajaan Selangor pula bersetuju dengan agenda industri ternakan babi menelan kos RM100 juta di Selangor.
Saya keliru, adakah kerana isu fitnah Geert Wilders ke atas Islam bercorak lebih komersial dan kelulusan industri babi RM100 juta hanya ‘dalam negara’, maka dua perkara ini menghasilkan tahap penghinaan yang berlainan kepada umat Islam?
Adakah hanya kerana Malaysia negara majmuk, maka kelulusan kepada industri babi itu dilihat sebagai satu cara umat Islam bertoleransi?
Pendirian rakyat beragama Islam – penyokong kerajaan atau pembangkang adalah sama – jika ada isu penghinaan Islam, rakyat mengharapkan pemimpin Islam dalam kerajaan Barisan Nasional atau pakatan pembangkang bersuara lantang dan menolak.
Jika pemimpin Islam menyeru rakyat memboikot barangan Belanda, kenapa tidak kita juga menyeru rakyat membantah industri ternakan babi di negara Islam?
Jika pemimpin Islam boleh menjadi agresif tentang perilaku Geert Wilders, kenapa tidak boleh berbuat demikian dengan Teresa Kok?
Kedua-dua ‘pemimpin’ ini mempunyai karakter yang sama – tidak sensitif terhadap kefahaman larangan agama walaupun mereka menyatakan diri mereka ‘jaguh’ rakyat.
Jika ada pemimpin Islam yang lantang dengan isu kafir-mengkafir umat Islam yang lain, manakah pemimpin itu yang diharapkan untuk menidakkan pembinaan industri babi? Jawablah, rakyat keliru dengan pendirian anda.
EMA IZATI ZULL KEPILI
Melbourne, Australia.
http://www.utusan.com.my/utusan/arkib.asp?y=2008&dt=0409&pub=
utusan_malaysia&sec=forum&pg=fo_05.htm&arc=hive
Semua Kandungan dan Semua komen para pembaca pada blog ini bukan pandangan dan pendirian saya dan Saya tidak bertanggungjawab untuknya.
No comments:
Post a Comment