2008-04-09

Tarik balik keputusan projek ternak babi di Sepang

Pendapat


SUDAHKAH kerajaan negeri Selangor berfikir masak-masak sebelum meluluskan projek ladang ternakan babi ‘mega’ di Sepang yang bernilai RM100 juta baru-baru ini?.



Tegasnya, projek tersebut bukanlah hadiah yang ditunggu-tunggu oleh majoriti rakyat negeri termaju di negara ini terutama penduduk di sekitar Sepang.



Berbanggakah kita jika selepas ini Se- pang yang telah memiliki Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Cyberjaya dan Litar F1 akan ‘me- nimang’ kelahiran ladang babi berskala besar pula?



Tidakkah rakyat Malaysia juga malu apabila tempiasnya turut kena pada Putrajaya sebagai pusat pentadbiran Kerajaan Pusat lantaran bersebelahan dengan tempat pengeluar babi terbesar?



Keputusan tersebut menunjukkan sikap tidak menghormati perasaan masyarakat lain, berbau perkauman melampau dan biadab. Itulah label paling tepat kepada pihak yang begitu beria-ia mahu melihat kewujudan ladang babi berskala besar di Sepang.



Adakah tuntutan Exco Selangor, Teresa Kok yang memegang portfolio Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan itu berniat ada udang di sebalik batu dalam kesungguhannya ‘memperjuangkan’ pro- jek berkenaan?


Rakyat tidak boleh dituduh beremosi tidak bertempat jika ramai melihat projek tersebut cenderung bermotifkan perkauman kerana secara automatik pastinya menjadi habuan untuk kaum tertentu sahaja.



Sebelum ini pun umum tahu bahawa Teresa adalah ‘juara’ menghalang penggunaan papan tanda jalan bertulisan jawi dan dia jugalah yang kecoh dengan pendedahan klip video wanita yang disangkanya warga China sehingga Malaysia meminta maaf kepada kerajaan tersebut.



Memang tidak dinafikan babi juga ciptaan Tuhan seperti yang ditegaskan oleh Teresa (Utusan Malaysia, 7 April 2008). Namun, jika Teresa jujur dengan kenyataannya itu, mengapa tidak didirikan ladang ternakan ayam misalnya sedangkan ayam juga haiwan ciptaan Tuhan?



Pengalamannya yang pernah melihat babi berkeliaran di perkampungan Melayu di Tumpat, Kelantan yang dipercayai milik komuniti Siam di situ tidak boleh dijadikan hujah mutlak untuk mewajarkan ternakan babi yang jumlahnya pasti berkali-kali ganda lebih banyak daripada babi yang diternak di kawasan kampung.



Selain itu, sejauh mana jaminan bahawa pengurusan moden ternakan babi itu benar-benar tidak mendatangkan mudarat terhadap kesihatan dan kualiti alam sekitar? Ini kerana haiwan itu jelas berpotensi tinggi menjejaskan kualiti kesihatan dan alam sekitar.



Kajian oleh Daniel S. Shapiro dari Amerika Syarikat mendapati terdapat lebih daripada 25 penyakit yang boleh dijangkiti daripada babi.



Mungkin Teresa juga lupa bahawa tokoh-tokoh tabib China dari Dinasti Tang dan Ming dahulu pun telah terlebih awal mengingatkan bahawa babi adalah punca pelbagai penyakit.



Kita tentu tidak mahu melihat episod wabak penyakit virus Japanese Encephalitis (JE) Nipah di Sungai Nipah dan Bukit Pelanduk, Negeri Sembilan pada tahun 1999 lalu berulang lagi. Virus punca penyakit leptospirosis yang merosakkan fungsi hati dan ginjal itu telah membawa angka korban yang tinggi dalam sekelip mata.



Walau macam mana moden pun pengurusan operasi ladang yang dijanjikan, tidak akan menjamin penduduk sekitar benar-benar selamat kerana ciri-ciri virus itu sendiri yang mampu berubah kepada pelbagai bentuk dengan cara jangkitan yang berbeza.



Jika benarlah dakwaan mahu menjadikan Selangor model pengurusan industri ternakan moden meliputi ternakan ayam, lembu, kambing dan babi, mengapa tidak terlebih dahulu aplikasikannya di ladang-ladang ternakan yang sedia ada di seluruh negeri Selangor?



Sebelum ini pun, sudah banyak kali rungutan penduduk seluruh negara berhubung pencemaran bau dan kualiti punca air yang terjejas di kawasan berhampiran dengan ladang ternakan haiwan. Atasilah masalah tersebut yang sebahagiannya sudah bertahun-tahun menggugat keselesaan hidup rakyat.



Biarlah projek yang diuar-uarkan bukan sahaja mendatangkan pulangan pendapatan kepada negeri malah limpahannya dapat dinikmati oleh semua lapisan kaum tanpa menyentuh sensitiviti agama dan budaya orang lain.



Hormatilah perasaan orang Melayu dan penganut Islam yang sudah sedia banyak bertolakansur selama ini. Tegasnya, kerajaan Selangor mesti menarik balik keputusan tersebut atau rakyat Selangor akan menarik balik mandat kuasa yang diberi dalam pilihan raya akan datang!

– MOHD. ARIF ATAN,

Bukit Beruntung, Selangor.


http://www.utusan.com.my/utusan/arkib.asp?y=2008&dt=0409&pub=utusan_malaysia&sec=rencana&pg=re_09.htm&arc=hive




Semua Kandungan dan Semua komen para pembaca pada blog ini bukan pandangan dan pendirian saya dan Saya tidak bertanggungjawab untuknya.

No comments: