2008-03-13

PM: 8 Mac 'satu pengajaran'

Mar 10, 08 8:28pm


Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad berkata, keputusan pilihanraya umum Sabtu lalu menjadi pengajaran kepada Umno dan Barisan Nasional (BN).



Presiden Umno berkata partinya dan BN mengakui keputusan yang diperoleh adalah satu isyarat yang perlu diberi perhatian dan mesti diterjemahkan dalam tindakan yang bakal diambil oleh mereka.



"Umno dan juga BN, kedua-dua telah sama-sama mengakui keputusan pilihanraya umum yang diadakan baru-baru ini. Kita terima dengan baik sebagai hasil satu pilihanraya yang telah berjalan dengan baik, adil dan telus," katanya kepada pemberita di ibu pejabat Umno.



Abdullah yang juga pengerusi BN, sebelum itu mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno, diikuti mesyuarat Dewan Tertinggi BN dalam dua sesi berasingan secara berturut-turut, bermula jam 1.30 tengah hari dan berakhir kira-kira jam 6.30 petang ini.



Menurut Bernama, perdana menteri berkata, walaupun tidak memperoleh mandat dua pertiga, kerajaan BN yang bakal dibentuk masih merupakan kerajaan yang kuat kerana hanya kekurangan lapan kerusi untuk mandat majoriti dua pertiga.



Khairy tidak pengaruhi



Sementara itu, Abdullah mengulangi dengan tegas bahawa menantunya Khairy Jamaluddin tidak pernah mempengaruhinya dalam sebarang keputusan yang beliau buat atau lakukan.



"Khairy bukan satu pengaruh dalam apa jua saya lakukan. Beliau adalah naib ketua Pemuda Umno, dan beliau mempunyai idea mengenai apa jua.



"Mungkin secara kebetulan beliau bercakap mengenai dasar yang sama dan bukan kerana dasar itu adalah sesuatu yang telah beliau promosikan, ini adalah dasar kerajaan," katanya.



Beliau menambah, sebagai seorang anggota Umno, adalah menjadi tugas Khairy mengetahui dasar-dasar kerajaan dan bercakap mengenainya.



"Apabila kita bercakap mengenai dasar itu tidak bererti itulah dasar yang beliau cadangkan," kata Abdullah mengulas kenyataan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad semalam yang mendakwa bahawa Khairy bertanggungjawab atas kekalahan besar BN dalam pilihanraya umum yang baru berakhir.



Presiden Umno juga berkata apa yang berlaku kepada Khairy adalah akibat tanggapan salah yang berasaskan hakikat bahawa beliau (Khairy) sebagai menantu Perdana Menteri.



"Beliau bukan orang yang berkata 'Babah tolong terima ini dan saya (Abdullah) terima, dan ini you (Abdullah) mesti lakukan. Beliau tidak berbuat begitu.



"Ini satu persepsi, saya rasa ini persepsi salah dan saya kesiankan Khairy kerana persepsi sebegitu berlaku terhadap matlamatnya, dan hubungan beliau dengan saya sebagai seorang menantu dengan bapa mertua," kata Abdullah.


Perdana Menteri berkata Khairy adalah seorang yang bercakap secara terbuka dan aktif meluahkan pendapatnya sebagaimana ramai orang pernah dengar di perhimpunan agung Umno.



"Siapa saja bebas memberikan pendapat, serta pandangan, dan Khairy, seperti orang lain juga bercakap secara terbuka dan kenyataan disiarkan dalam akhbar," kata Abdullah.

No comments: