2008-03-14

Keikhlasan pembangkang diragui

KUALA LUMPUR 13 Mac –



Langkah DAP menghapuskan Dasar Ekonomi Baru (DEB) boleh mencetuskan ketegangan antara kaum selain menyebabkan ketidakstabilan negara.



Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (gambar) berkata, sebarang usaha untuk menolak DEB akan membawa kepada akibat negatif bukan sahaja kepada masyarakat Melayu tetapi negara Malaysia secara keseluruhannya.



Katanya, ini kerana DEB memainkan peranan amat penting dalam menentukan agihan ekuiti dan penyertaan ekonomi yang lebih seimbang sekali gus dapat mengekalkan keamanan dan keharmonian kaum.



“Dengan membelakangkan DEB, tindakan pembangkang yang tidak bertanggungjawab ternyata akan lebih memburukkan lagi tidak sama rata agihan ekonomi di kalangan rakyat berbilang kaum.



“Di manakah keikhlasan pihak pembangkang dalam hal ini?. Adakah mereka sengaja mahu menimbulkan kemarahan orang Melayu atau mahu menunjukkan kekuasaan mereka tanpa memikirkan akibat dan kesan terhadap kesejahteraan negara,” katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.



Kerajaan DAP Pulau Pinang kelmarin mengumumkan menolak DEB di negeri tersebut yang disifatkan Ketua Menteri, Lim Guan Eng sebagai punca berlakunya kronisme dan rasuah.



Berikutan itu, semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi memberi amaran kepada Guan Eng supaya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh menyemarakkan ketegangan kaum.



Hishammuddin menambah, rakyat tidak boleh membiarkan sebahagian besar daripada ekonomi negara dikuasai oleh kaum minoriti dengan terus meminggirkan kaum majoriti tanpa pembelaan.



Katanya, sedangkan DEB telah memainkan peranan dalam memastikan agihan yang sama rata dengan mengekalkan persefahaman di antara semua kaum selain membantu membasmi kemiskinan rakyat tanpa mengira kaum.



‘‘Kita juga perlu mengambil iktibar daripada apa yang telah berlaku di beberapa negara semasa krisis kewangan pada tahun 1998 yang lalu di mana kaum majoriti telah memberontak sehingga berlakunya pertumpahan darah pada masa itu.



‘‘Ini disebabkan oleh ketiadaan satu polisi khusus seperti DEB untuk membantu golongan miskin yang terdiri daripada kaum pribumi di negara tersebut,’’ jelasnya.

No comments: