2008-03-14

Hormat keputusan

KUALA LUMPUR 13 Mac -



Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Ahmad Zahid Hamidi menyelar perebutan kuasa yang berlaku antara DAP, Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Perak yang jelas menggambarkan sikap tidak menghormati institusi raja.



Menurutnya, apa yang berlaku sekarang membuktikan hujah Barisan Nasional (BN) selama ini, bahawa parti pembangkang tidak mampu bekerjasama membentuk kerajaan campuran.



''Perebutan kuasa yang sedang terjadi sekarang jelas menunjukkan parti-parti tersebut tidak secocok. Ia pasti gagal jika diberi kuasa mentadbir negeri,'' katanya ketika dihubungi di sini hari ini.



Sehubungan itu, Ahmad Zahid meminta semua parti politik menghormati penangguhan istiadat mengangkat sumpah anggota Dewan Undangan Negeri di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar hari ini.



Istiadat mengangkat sumpah anggota Dewan Undangan Negeri daripada Pas sebagai Menteri Besar Perak yang dijadual berlangsung di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar petang ini, terpaksa ditangguhkan kerana DAP, PKR dan Pas tidak tidak mencapai kata sepakat dalam penubuhan kerajaan campuran.



Setiausaha PAS negeri Mohammad Nizar Jamaluddin sebelum ini, dijadual mengangkat sumpah di hadapan Pemangku Raja Perak, Raja Dr. Nazrin Shah sebelum penangguhan diumumkan Datuk Pengelola Bijaya Diraja Datuk Seri Raja Mansor Raja Razman di Istana Iskandariah.



Penasihat DAP, Lim Kit Siang semalam, mengarahkan semua 18 wakil rakyat DAP di Perak tidak menghadiri istiadat mengangkat sumpah itu kerana tidak setuju dengan pemilihan wakil PAS sebagai Menteri Besar. Lim kemudian memohon maaf dan menarik balik kenyataan itu.



Ahmad Zahid berkata, keputusan penangguhan itu seharusnya dihormati demi menjaga kedaulatan dan keluhuran institusi raja.



''Jika tidak hormat, ia dikira satu penghinaan. Bukan sahaja kepada adat istiadat Kesultanan Perak malahan keseluruhan institusi raja-raja Melayu.



''Semua rakyat Perak harus berdiri teguh bersama-sama pentadbiran istana Perak dan sekali gus menolak keangkuhan DAP," ujarnya.

No comments: