JAM 1.20 pagi Ahad lalu, satu pesanan diterima melalui SMS daripada seorang rakan yang sebelum itu turut menerimanya daripada pemimpin DAP meminta penyokong di Negeri Sembilan tidak terlalu ghairah merayakan kejayaan pakatan pembangkang pada Pilihan Raya Umum Ke-12 ini.
Pesanan itu mungkin timbul daripada kerisauan yang tidak mahu kemeriahan melampau menyambut kemenangan kali ini mencetuskan kekecohan seperti insiden tatkala Pas merampas Terengganu dari Barisan Nasional (BN) pada 1999.
Walaupun mempunyai pengaruh di negeri Adat Perpatih ini, kekuatan DAP tidaklah menjangkau sehingga mampu menawan kerusi dalam jumlah yang mencecah dua angka kerana sejarah pilihan raya sebelum ini memang meletakkan Negeri Sembilan sebagai kubu kuat BN.
Namun, kali ini tsunami politik melanda apabila DAP bukan saja mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lobak yang dimenanginya pada 2004, tetapi malah merampas sembilan lagi DUN daripada BN, semuanya di kawasan majoriti pengundi Cina.
Hanya satu kerusi terlepas daripada genggamannya, iaitu Chennah dalam Parlimen Jelebu yang walaupun mengandungi 53.5 peratus pengundi Cina daripada keseluruhan 9,898 pemilih berdaftar, ia bukan terletak dalam kawasan bandar.
Tidak cukup dengan itu, parti itu juga merampas kerusi Parlimen Seremban dan Rasah, sekali gus memberi tamparan amat hebat kepada MCA yang kini hanya bersandarkan seorang saja wakil dalam DUN selepas ini. Itupun muka baru, Siow Shen Tin di Chennah.
Skrip sama juga membabitkan Gerakan apabila dua kerusi ditandinginya, DUN Senawang dan Bukit Kepayang terlepas ke tangan DAP, manakala MIC kehilangan satu daripada dua kerusi DUN dikuasainya pada 2004, iaitu Port Dickson, tetapi kekal di Jeram Padang.
Umno turut menerima kejutan apabila calonnya di Sikamat dan Ampangan tewas kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR), manakala Pas merampas DUN Paroi, sekali gus menyaksikan buat kali pertama suara wakil dua parti pembangkang itu dalam DUN.
Secara keseluruhan, BN menang 21 DUN, manakala DAP, PKR dan Pas, masing-masing 10, empat dan satu kerusi, sekali gus bakal menyaksikan wakil pembangkang memenuhi sebahagian daripada kerusi pada sesi pertama persidangan DUN yang dijangka diadakan dalam tempoh sebulan dua ini.
Umno yang meletakkan calon di sebanyak 22 kerusi kekal penyumbang utama kemenangan BN dengan 19 kerusi selepas tewas kepada PKR di Sikamat dan Paroi, selain terlepas Ampangan kepada Pas, tetapi menang semua lima kerusi Parlimen, iaitu Jelebu, Jempol, Kuala Pilah, Rembau dan Tampin.
DUN Chuah yang ditandingi calon MCA juga dimenangi PKR, manakala penyandang kerusi Bukit Kepayang, Datuk Chan Khee Voon dari Gerakan gagal mempertahankan kerusinya.
Bagi kerusi Parlimen, MCA tewas kedua-dua kerusinya, Seremban dan Rasah, manakala MIC negeri ini kehilangan suara di Dewan Rakyat apabila satu-satunya kerusi ditandingi, Parlimen Telok Kemang kini dikuasai PKR.
Menilai prestasi merudum BN, Pengerusinya, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata ia adalah pengajaran untuk mengukuhkan kembali kedudukan BN dan menggariskan hala tuju baru untuk berkhidmat kepada rakyat.
“Ini betul-betul membuka mata kita dan saya harap kita sama-sama mengambil iktibar. BN negeri akan mencari punca kekalahan, terutama di kubu kuat dan mengambil tindakan segera untuk memperbetulkan kelemahan.
“Ini (keputusan) bagaikan tsunami dan saya pun tiada jawapannya. Sebelum pilihan raya, saya andaikan BN akan kalah lima kerusi DUN dan satu kerusi Parlimen, tetapi yang berlaku sebaliknya di mana kita kalah 15 kerusi DUN dan tiga kerusi Parlimen,” katanya.
Lima belas kerusi DUN dimenangi pembangkang ialah Bahau, Nilai, Lobak, Temiang, Bukit Kepayang, Mambau, Senawang, Lukut, Repah dan Rahang melalui DAP, diikuti Sikamat, Ampangan, Chuah dan Port Dickson oleh calon PKR dan Paroi melalui Pas.
Pada 2004, BN menang 34 daripada 36 DUN, manakala DAP dua, iaitu Lobak dan Bahau, tetapi wakil pembangkang itu di Bahau, Lim Fui Ming menyertai MCA tahun lalu dan dikekalkan sebagai calon, namun kali ini tewas kepada bekas rakan partinya.
Seorang veteran Umno berpendapat punca kekalahan di Sikamat, Ampangan dan Paroi adalah kerana faktor dalaman parti sendiri apabila ahli parti tidak menggemari calon pilihan pucuk pimpinan, kecewa kerana pemimpin mereka tidak terpilih atau faktor calon dari luar kawasan.
"Kerusi itu kubu kuat Umno dan calon PKR serta Pas tiada kekuatan dari segi keahlian di situ. Jadi, mungkin ada ahli Umno mengundi mereka atau merosakkan kertas undi sebagai protes. Pembangkang juga mungkin disokong pengundi Cina dan India yang menyumbang antara sembilan hingga 32 peratus daripada jumlah pemilih.
"Masalah pemilihan calon memang kritikal dalam Umno kerana kita mempunyai ramai pemimpin yang berasa layak menjadi calon, manakala pemimpin yang sudah lama menjadi wakil rakyat pula tidak mempunyai semangat kepartian apabila tidak mahu memberi laluan dan kecewa bila digugurkan," katanya.
No comments:
Post a Comment