"WALAUPUN mengejutkan, itulah kehendak rakyat. Mereka sudah menggunakan proses demokrasi untuk membuat pilihan. Namun, kita percaya kekalahan ini hanya sementara dan Barisan Nasional (BN) akan bangkit semula," demikian luahan seorang penggiat politik apabila ditanya mengenai nasib BN Kedah pada pilihan raya umum kelmarin.
Beliau antara kebanyakan rakyat negeri ini yang masih terkejut dengan keputusan drastik yang tidak memihak kepada parti komponen BN pada pilihan raya kali ini.
Biar pun menjangkakan BN akan mengalami penurunan dalam majoriti atau kehilangan beberapa kerusi, tetapi keputusan kelmarin sukar dijangka.
Lebih-lebih lagi belum pernah terjadi dalam sejarah Kedah, Pas atau pembangkang berjaya membentuk kerajaan negeri, biar pun mereka hampir berbuat demikian pada Pilihan Raya Umum Ke-10 pada 1999 apabila Pas menang di 12 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Pada pilihan raya kali ini, Pas mencatat sejarah tersendiri apabila menang di enam kerusi Parlimen, iaitu Padang Terap, Sik, Jerai, Baling, Pokok Sena serta mempertahankan Pendang.
Di DUN pula, mereka menang 16 kerusi iaitu di Kupang, Bukit Lada, Kubang Rotan, Pengkalan Kundor, Bandar Baharu, Ayer Hitam, Alor Mengkudu, Jeneri, Pantai Merdeka, Merbau Pulas, Kuala Ketil dan Tanjung Dawai selain mempertahankan empat lagi kerusi, iaitu Anak Bukit, Bukit Pinang, Tokai dan Sungai Limau.
Pas bagaimanapun gagal mempertahankan kerusi DUN Belantek yang dikuasainya sejak tiga penggal lalu apabila calon baru BN, Tajuddin Abdullah membuat kejutan. Beliau juga adalah calon tunggal yang menang di kawasan Sik apabila dua lagi calon BN, iaitu kedua-dua Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kecundang. Mereka ialah calon Parlimen Sik, Datuk Othman Desa dan calon DUN Jeneri, Datuk Hasbullah Lebai Isa.
Sementara itu, BN pula hanya dapat mempertahankan empat kerusi Parlimen, iaitu Langkawi, Kubang Pasu, Jerlun dan Alor Star. Di kerusi DUN pula, BN menang 14 kerusi, iaitu Guar Chempedak, Gurun, Kuala Nerang, Pedu, Belantek, Ayer Hangat, Kuah, Bukit Kayu Hitam, Bakar Bata, Sungai Tiang, Kota Siputeh, Derga dan Bayu.
Pakatan Pas, PKR turut mencatat sejarah apabila pertama kali menang di lima kerusi Parlimen, iaitu Sungai Petani, Padang Serai, Kuala Kedah, Merbok dan Kulim Bandar Baharu. Parti itu turut menang di empat lagi kerusi DUN, iaitu Bakar Arang, Sidam, Lunas dan Kulim.
Sementara itu, DAP dan Bebas pula masing-masing menang satu kerusi iaitu di Kota Darulaman dan Bukit Selambau.
Jika diperhalusi kekalahan BN di Kedah bukanlah disebabkan pengaruh pembangkang terlalu kuat di negeri ini sehingga ‘merajai’ sanubari masyarakat negeri jelapang padi ini, sebaliknya ia seolah-olah satu trend seluruh negara.
Setiausaha BN Kedah, Datuk Md Rozai Shafian pula mengaitkan kekalahan itu antara lain berpunca daripada pengundi luar, khususnya yang tinggal di bandar termasuk ibu negara dan Pulau Pinang yang terdedah kepada blog dan maklumat internet yang kemudian menyebarkan maklumat berkenaan kepada keluarga dan rakan.
“Pada peringkat awal kempen kita tidak menghadapi masalah kerana semua berjalan lancar dan sokongan daripada pengundi tempatan cukup padu, tetapi apabila pengundi luar pulang mereka mungkin menyebarkan maklumat kepada keluarga dan rakan di kampung menyebabkan berlakunya gelombang perubahan yang tidak dijangka.
"Keadaan itu yang berlaku pada saat akhir menyebabkan kita tidak sempat membetulkan keadaan," katanya.
Beliau yang diturunkan kali kedua oleh BN untuk merampas kerusi Parlimen Pendang, tumpas kepada penyandang dari Pas, Dr Mohd Hayati Othman.
Md Rozai memberi contoh di Parlimen itu dianggarkan ada kira-kira 6,000 pengundi yang tinggal di luar, tetapi hampir 5,000 dianggarkan pulang untuk mengundi.
Beliau juga menyifatkan isu negeri bukan faktor utama kekalahan BN Kedah kerana ketika kempen pembangkang tidak membangkitkan isu tempatan, sebaliknya hanya menggunakan sentimen kenaikan harga barang dan harga minyak saja untuk meraih undi.
"Mereka juga mungkin terlalu mudah terpengaruh dengan retorik dan janji manis pembangkang," katanya.
Selain itu, ia mungkin turut dipengaruhi keadaan ekonomi selain rasa kurang berpuas hati dengan dasar tertentu, khususnya di kalangan pengundi Cina dan India.
Sementara itu, seorang penganalisis politik berkata, faktor masalah dalaman parti termasuk wakil rakyat digugurkan dan penyokong mereka enggan bekerjasama membantu calon baru juga tidak harus diketepikan.
"Malah lebih teruk lagi ada yang mensabotaj meminta penyokong BN sendiri mengundi calon parti lawan,' katanya.
Bagaimanapun, difahamkan Pengerusi BN negeri selaku Menteri Besar, Datuk Seri Mahdzir Khalid sudah memanggil mereka yang terbabit untuk membetulkan keadaan, tetapi kesan daripada tindakan tidak bijak pihak tidak bertanggungjawab itu masih sukar dibersihkan sepenuhnya.
Seperkara menarik direnungkan ialah undi rosak yang agak banyak, iaitu berjumlah 15,322 atau 2.2 peratus di semua 15 kawasan Parlimen. Ia bermakna setiap kawasan Parlimen mempunyai purata 1,000 undi rosak, sedangkan kadar buta huruf masyarakat sudah menurun. Pasti ada sesuatu yang mendorong mereka berbuat demikian sehingga sanggup merosakkan undi.
No comments:
Post a Comment