2008-03-14

Undur PM: Surat Mukhriz di internet

Mar 14, 08 12:26pm


Exco Pemuda Umno Datuk Mukhriz Mahathir menggesa Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi melepaskan jawatan-jawatannya sebagai perdana menteri dan presiden Umno bagi memulihkan parti itu dan kerajaan BN.



"Hanya dengan peletakan jawatan Perdana Menteri dan presiden Umno oleh Datuk Seri sendiri dapat pemulihan Umno, BN dan negara dilakukan dengan jaya," katanya dalam sepucuk surat peribadinya kepada Abdullah.



Surat bertarikh 12 Mac itu turut diedarkan kepada timbalan Umno Datuk Seri Mohd Najib Razak, dua naib presidennya Datuk Wira Ali Rustam dan Tan Sri Muhyiddin Yassin, dan juga setiausaha agung Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad.



Malaysiakini difahamkan surat dua halaman itu tidak bertujuan diedarkan kepada umum, namun ia kini mula diterbitkan di beberapa laman web dan blog politik.



Mukhriz, ahli parlimen Jerlun, berkata keputusan pilihanraya umum 8 Mac jelas menunjukkan rakyat menolak kepemimpinan Abdullah.



"Saya berharap Datuk Seri fahaman bahawa surat saya ini dibuat degan niat untuk menyelamatkan keadaan yang amat mencemaskan. Gerakan (pihak tertentu) telah bermula untuk menarik wakil-wakil rakyat BN supaya melompat ke parti lawan. Musuh BN memerlukan hanya 35 kerusi untuk menjatuhkan kerajaan pimpinan Datuk Seri," kata Mukhriz lagi dalam surat itu.



"Oleh itu, sekiranya Datuk Seri tidak berundur dalam tempoh terdekat, saya benar-benar khuatir kepercayaan rakyat, khususnya orang Melayu terhadap Umno dan BN akan lupus sama sekali."



Sehari selepas piliharaya Sabtu lalu, bapanya mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad telah membuat gesaan yang sama terhadap Abdullah dan mencadangkan Najib dilantik untuk memimpin Umno dan negara.



Abdullah bagaimanapun enggan berbuat demikian dan malah menyatakan barisan kepemimpinan BN masih bersamanya.



Susulan kekalahan besar Perikatan (sekarang BN) pada 1969 dan rusuhan kaum, Dr Mahathir pernah menulis surat sulit kepada perdana menteri waktu itu Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj mendesak peletakan jawatannya.



Surat Mahathir itu, beliau kalah di kerusi parlimennya di Kedah, turut beredar dengan meluas kepada orang ramai.

No comments: