SAYA sangat bersetuju dengan semua pandangan dalam ruangan Forum sejak kelmarin berkaitan nasib orang Melayu dan bumiputera hasil daripada keputusan Pilihan Raya Umum Ke-12.
Pada mulanya saya rasa gembira kerana seolah-olah kematangan politik telah tercapai. Tetapi kemudian setelah menganalisis dengan lebih terperinci, timbul rasa sedih.
Ini kerana, negeri yang dahulunya didominasi oleh Melayu dan Islam kini telah berada di bawah kuasa DAP iaitu Perak dan Selangor.
Manakala negeri yang berada dalam genggaman komponen Barisan Nasional (BN) juga jatuh sepenuhnya di tangan DAP.
DAP sejak dahulu telah menyatakan dengan terbuka yang parti itu tidak mengiktiraf dan menerima Islam.
Walaupun di Selangor, PKR memperoleh lebih kerusi iaitu sebanyak 15 kerusi berbanding DAP (13) dan Pas (6), DAP tetap merupakan parti yang dominan kerana PKR sendiri tidak dapat menubuhkan kerajaan dan terpaksa bergabung dengan parti lain.
Yang pasti gabungan tersebut bukanlah dengan BN tetapi DAP dan Pas. Oleh itu, DAP kini mempunyai kuasa dan suara yang besar dalam gabungan tersebut. Keadaan lebih buruk di Perak di mana DAP adalah parti terbesar dalam gabungan kerajaan Perak dengan 18 kerusi diikuti PKR (7) dan Pas (6). Hasrat wakil DAP untuk menjadi Menteri Besar mungkin tidak dapat dilaksanakan disebabkan negeri tersebut diselamatkan oleh Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak yang menetapkan Menteri Besar dari kalangan orang Melayu beragama Islam.
Maka kini DAP perlu mencari Menteri Besar boneka yang akan memerintah bagi pihak mereka. Mungkin wakil Pas dipilih tetapi DAP awal-awal lagi menyatakan bakal Menteri Besar Perak tidak mewakili parti tetapi mewakili semua rakyat Perak. Kenyataan ini seolah-olah memberitahu bahawa merekalah yang sebenarnya berkuasa dengan wakil terbesar dalam gabungan kerajaan Perak.
Keadaan paling buruk ialah di Pulau Pinang di mana jika kerajaan sebelum ini pun gagal menangani masalah orang Melayu yang miskin dan terpinggir daripada arus kepesatan pembangunan negeri pulau mutiara ini, apatah lagi kerajaan yang kurang mesra Melayu-Islam memerintah dengan majoriti yang besar.
Melihat perkembangan ini, mungkin tidak lama nanti Malaysia atau setidak-tidaknya di tiga negeri tersebut akan menjadi seperti Singapura. Asalnya negeri kepunyaan Melayu, kemudian diambil alih oleh PAP (DAP merupakan serpihan kepada PAP sebelum meninggalkan Malaysia). Atas prinsip kesaksamaan dalam demokrasi maka terhasilnya Singapura hari ini, negara yang didominasi oleh kaum Cina dan hampir tiada tempat sebenarnya untuk orang Melayu.
Tidak boleh memegang jawatan tinggi dalam anggota keselamatan dan peluang yang sangat terhad. Keadaan ini sangat berbeza dengan kaum bukan Melayu di Malaysia yang hidup dengan penuh kesenangan dan kemewahan. Maka sama-samalah kita menanti apakah nasib orang Melayu dan bagaimana pula kemajuan kaum lain di Pulau Pinang, Selangor dan Perak.
Pada pandangan saya, keadaan yang menyedihkan ini sebenarnya akibat kurang cerdik orang Melayu dalam berpolitik. Ini ditambah dengan kesudian orang Melayu terutamanya PKR bekerjasama dengan DAP demi mencapai cita-cita masing-masing.
Lidah rasmi Pas pula banyak memberikan ruang kepada PKR menyampaikan ideologi mereka. Kini saya mula tertanya-tanya, sekiranya Datuk Seri Anwar Ibrahim betul-betul ingin memperjuangkan keadilan, kenapa tidak menyertai Pas sebaliknya memilih untuk menubuhkan parti baru yang lebih memecahkan orang Melayu.
Semua keadaan ini sebenarnya hanya menguntungkan satu pihak di ketiga-tiga negeri tersebut iaitu DAP. Ternyatalah dalam pilihan raya umum 2008, DAP adalah parti yang paling cerdik berpolitik dan menggunakan peluang.
Jika DAP menggunakan slogan “Undi MCA sama seperti mengundi UMNO/Melayu”, sebenarnya yang lebih jelas ialah “Undi PKR sama seperti undi DAP".
Kini parti yang tidak menerima Islam ini telah menguasai tiga negeri dan orang Melayu terus bersorak ‘Kita berjaya menumbangkan BN’ dan dalam masa sama DAP pula bersorak ‘Kita telah berjaya menumbangkan Melayu dan Islam’. Maka terbuktilah pepatah Melayu yang terkenal, ‘Menang sorak kampung tergadai’.
– MENGHITUNG HARI
Kuala Lumpur.
http://www.utusan.com.my/utusan/arkib.asp?y=2008&dt=0312&pub=utusan_malaysia&sec=forum&pg=fo_01.htm&arc=hive
No comments:
Post a Comment