2008-03-14

MCA, Gerakan mangsa sentimen pengundi Cina

Oleh Ziauddin Sharuddin




RAMALAN bahawa pengundi Cina akan mengubah selera dengan mengundi pembangkang dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 bukan perkara baru dan mengejutkan. Cuma tiada siapa menyangka perubahan itu sehebat tsunami.


Tsunami politik, istilah baru yang diambil daripada peristiwa bencana alam dahsyat itu semakin kerap digunakan untuk menerangkan perubahan besar yang melanda landskap politik tanah air apabila empat negeri, Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor, menjadi tambahan kepada Kelantan dikuasai pembangkang.


Jangkaan awal di kalangan penganalisis politik adalah DAP bakal meraih lebih banyak kerusi atau paling teruk menafikan majoriti dua pertiga Barisan Nasional (BN) di Pulau Pinang dan melebarkan pengaruh di Lembah Klang dan Lembah Kinta.



Bagaimanapun, pemimpin pembangkang sendiri terkejut dengan kemenangan besar yang tandanya walaupun sudah dirasai, lebih terserlah pada malam hari pengundian Sabtu lalu.


DAP yang kejayaan terbesar selepas Pilihan Raya Umum 1969 mendapat 24 kerusi Parlimen pada 1986 kini bukan saja merampas Pulau Pinang, malah menjadi komponen penting dalam kerajaan Perak dan Selangor.


Sebaliknya MCA sebagai parti komponen BN kedua terbesar menderita kekalahan terburuk sejak 1969 apabila hanya memperoleh 15 daripada 40 kerusi Parlimen yang ditandingi di seluruh negara dan kalah banyak kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN).




Gerakan hanya menang dua daripada 12 kerusi Parlimen dan lima daripada 31 kerusi DUN, tetapi kekalahan paling perit yang sukar diterima ialah kehilangan Pulau Pinang yang selama ini adalah pangkalan aktiviti politik parti itu.


Kesan kekalahan teruk ini, bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, menyatakan kesediaannya untuk meletak jawatan sebagai pemimpin parti Gerakan.


Presiden MCA, Datuk Seri Ong Ka Ting, dalam ulasannya selepas kekalahan parti itu sendiri tidak menjangka keputusan pilihan raya umum menjadi begitu.



Bagaimanapun, perubahan yang berlaku tidak tiba-tiba muncul. Ibarat tsunami, tanda awal sebenarnya sudah dapat dilihat jika sikap pengundi Cina dalam dua pilihan raya kecil di Ijok dan Machap tahun lalu, dijadikan ukuran.



Keputusan dua pilihan raya itu jelas menunjukkan bahawa pengundi Cina beralih kepada pembangkang kerana pelbagai faktor.



Menjelang pilihan raya umum lalu, pemimpin MCA dan Gerakan memang menyedari kemungkinan pengundi Cina beralih selera, tetapi menyembunyikan kebimbangan itu secara diplomasi dengan menyatakan keyakinan akan menang.



Bagaimanapun, sesetengah pemimpin secara jujur tidak menyembunyikan kebimbangan dengan menyatakan bahawa peluang untuk menang adalah 50:50.




Naib Presiden MCA, Datuk Donald Lim Siang Chai, yang tewas di Parlimen Petaling Jaya Selatan, menyatakan pertarungan cukup sengit kerana mereka sebenarnya bukan hanya berdepan DAP, tetapi sentimen pengundi Cina.



Sudah tentu ada sesuatu yang menyebabkan masyarakat Cina tidak berpuas hati, tetapi apakah faktor itu? Ong sekadar menyatakan keadaan ini mempunyai kaitan dengan perasaan tidak puas hati terhadap kerajaan.



Penganalisis politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Mohammad Agus Yusoff, memperjelaskan senario ini dengan menyatakan bahawa pengundi Cina mementingkan `kesejahteraan perut’ dan sedia berubah angin jika kepentingan ini terjejas.




Katanya, bukan luar biasa pengundi Cina mengundi pembangkang, tetapi perubahan yang berlaku kali ini cukup luar biasa.




Pengkaji sejarah dan penganalisis masyarakat Cina, Prof Emeritus Dr Khoo Kay Kim, bersetuju dengan fakta ini dengan menyatakan pola pengundian masyarakat Cina adalah demi kepentingan sosioekonomi.




Katanya, parti yang menjamin kepentingan sosioekonomi masyarakat Cina akan menjadi pilihan dalam pilihan raya.




Berikutan masyarakat Cina berada di kawasan bandar, faktor ini bukan menghairankan kerana dalam suatu tinjauan pendapat sebuah universiti tempatan pertengahan Februari lalu, mendapati bahawa selain pendatang tanpa izin, kejadian jenayah dan isu sosial, isu ekonomi seperti kos kehidupan menjadi pertimbangan utama pengundi.




Walaupun kerajaan memperjelaskan usaha dilakukan menangani isu ekonomi, tetapi apabila sentimen pengundi dipasakkan bahawa kerajaan tidak melakukan apa-apa, inilah yang terjadi.




Tidak dapat dinafikan bahawa sepanjang kempen pilihan raya, DAP turut memainkan isu sentimen seperti MCA bukan menjadi pelindung kepentingan masyarakat Cina, tetapi menjadi pengawal kepada Umno. Dr Koh dan Ong dilabelkan sebagai tidak mempunyai kuasa politik dan terpaksa tunduk kepada Umno.



Menyaksikan calon DAP berhujah isu ini di Seksyen 17 Petaling Jaya, disambut tepukan gemuruh mereka yang sebahagian besar adalah masyarakat Cina, membayangkan MCA dan Gerakan berdepan laluan sukar. Ini terbukti.




Daripada isu berkaitan kesejahteraan perut bercampur aduk sentimen, pengundi Cina meluahkan perasaan tidak puas hati dengan menjadikan MCA dan Gerakan sebagai mangsa.




Hampir semua parti komponen BN masih berada dalam keadaan terkejut melihat kemusnahan tsunami, tetapi selepas keadaan reda dan kembali tenang, penyelesaian terbaik perlu dicari untuk memenangi semula hati setiap rakyat.

No comments: