2008-03-14

Keseluruhan jentera BN harus bertanggungjawab

Oleh Magendran Rajagopal




CARI PENYELESAIAN: Chandra (kiri) dan Mohamed Jawhar pada Forum Pilihan Raya Umum 2008: Keputusan Dan Kesannya Kepada Malaysia di Kuala Lumpur, semalam.


Prestasi buruk parti tak wajar dipikul Abdullah seorang: Musa Hitam


KUALA LUMPUR: Keseluruhan jentera Barisan Nasional (BN) harus bertanggungjawab terhadap prestasi buruk parti itu dalam pilihan raya umum lalu, tanpa meletakkan kesalahan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, seorang, kata bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam.


Musa berkata, ini bukan masa bagi Umno dan BN menuding jari mencari kesalahan, sebaliknya perlu merapatkan barisan dan memperbetulkan kesalahan kerana pada hakikatnya, kerajaan BN menang walaupun hanya dengan majoriti mudah.


Sebaliknya, beliau berkata, BN perlu menggembleng tenaga mencari punca kekalahannya untuk ditangani segera.


Musa berkata, Perdana Menteri tidak menafikan beliau bertanggungjawab tetapi selaras dengan tradisi BN, tanggungjawab itu harus dikongsi bersama oleh Umno dan semua parti komponen lain.


Mengulas syor Tun Dr Mahathir Mohamad supaya Abdullah meletak jawatan, Musa berkata: "Dalam keadaan seperti ini tentu ada yang akan ambil kesempatan untuk memenuhi keinginan mereka... mengikut pandangan masing-masing. Secara peribadi, sama ada saya setuju atau sebaliknya tidak penting, apa yang penting ialah sama ada parti bersetuju atau tidak.



"Perdana Menteri sendiri perlu membuat keputusan. Saya yakin semua ini dibincangkan secara panjang lebar dalam mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno dan BN. Amalan tuduh menuduh sudah tentu semakin rancak sekarang.




"Kalau beliau (Abdullah) memutuskan untuk meletak jawatan, saya percaya beliau akan memikirkannya secara mendalam," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Forum Pilihan Raya Umum 2008: Keputusan Dan kesannya Kepada Malaysia di sini, semalam.


Hadir sama, Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Strategik dan Kajian Antarabangsa (Isis) Malaysia, Datuk Seri Mohamed Jawhar Hassan.


Tiga tokoh yang berucap dalam forum anjuran ISIS itu ialah Pengarah Institut Kajian Etnik (Kita) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin; Presiden Pergerakan Keadilan Sedunia (Just), Prof Dr Chandra Muzaffar dan Timbalan Pengerusi, Institut Analisis Strategik dan Penyelidikan Dasar (INSAP), Rita Sim.


Musa berkata, kegagalan memenangi dua pertiga kerusi Parlimen tidak penting kerana kemenangan mudah yang diperoleh itu lebih daripada mencukupi jika mempunyai sokongan ikhlas rakyat.



Beliau berpendapat pilihan raya umum kali ini adalah yang paling bebas dan faktor perkauman tidak memainkan peranan penting, sebaliknya rakyat menggunakan demokrasi sebaik mungkin bagi memilih calon berdasarkan kewibawaan dan kemampuan memenuhi aspirasi mereka.


Musa menegaskan rakyat belum hilang keyakinan terhadap BN tetapi hanya mahu menyampaikan mesej jelas mengenai pucuk pimpinan sedia ada dan BN, khususnya Umno, MCA, MIC dan Gerakan harus mengambil iktibar bagi menyelesaikan apa saja masalah.



Katanya, kegagalan BN adalah terjemahan bantahan rakyat menerusi peti undi terhadap isu seharian seperti kenaikan harga minyak dan barangan keperluan serta pembangunan ekonomi, bukannya akibat rasa tidak puas hati masyarakat Cina dan India terhadap kerajaan.



"Memang ada masalah tetapi masalah ini boleh dilihat daripada pelbagai sudut. Dalam Umno, MCA, MIC dan Gerakan sendiri masalah dalaman tidak akan selesai selagi calon yang kalah dan menang tidak bermuafakat, bermusyawarah bagi mencari puncanya.



"Bukan saja BN terpinga-pinga dengan keputusan pilihan raya 2008, pembangkang pun terpinga-pinga dan saya sendiri anggap keputusan ini sebagai luar biasa.



"Kita harus memberi peluang kepada pembangkang mentadbir di lima negeri yang mereka menang untuk membuktikan kebolehan dan pada masa sama, BN harus memantau rapi setiap gerak geri mereka. membangkang senang saja tapi bukan mudah bagi mentadbir negeri," katanya.



Musa berpendapat rakyat sudah mencapai satu tahap kematangan baru dengan memanfaatkan peti undi bagi membuat perubahan dan pucuk pimpinan, tidak kira kerajaan memerintah atau pembangkang, harus akur kepada kuasa rakyat yang menentukan hala tuju politik negara.


No comments: