2008-03-13

Anwar 'penyedia resipi' menang besar

Muda Mohd Noor | Mar 11, 08 1:19pm



Bekas timbalan perdana menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah berjaya menjadi penyatu kepada parti-parti pembangkang utama sehingga mencapai kemenangan besar dalam pilihanraya umum 8 Mac.



Ketua badan perhubungan Umno Kelantan Datuk Seri Annuar Musa berkata, Anwar menjadi penyedia resipi kepada PKR, PAS dan DAP dalam pilihanraya Sabtu lalu.



"Kerananya (Anwar), ketiga-tiga parti itu bergerak mengikut acuan masing-masing," kata Annuar ketika ditemui selepas menghadiri mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno di ibu pejabat Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di ibu negara semalam.



Sabtu lepas, DAP dan PKR bagaimanapun masih bertembung sesama sendiri di enam kerusi parlimen dan lapan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), sebahagian besarnya di Sabah dan Sarawak apabila rundingan agihan kerusi gagal. Di Semenanjung, hanya satu kerusi DUN Derga di Kedah.



Semua kerusi ini tewas kecuali di parlimen Kota Kinabalu yang dimenangi DAP dengan majoriti 106 undi.



Annuar berkata demikian kepada media ketika mengulas mengenai kekalahan besar BN - hilang empat negeri Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor, selain gagal merampas Kelantan.



BN Kelantan yang diterajui Annuar cuma menang lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan dua kerusi parlimen.



Beliau sendiri gagal mempertahankan kerusi Ketereh, manakala calon Menteri Besar BN bagi negeri itu Datuk Dr Awang Adek Hussin tewas di Bachok dan DUN Perupok. Kelantan mempunyai 45 DUN dan 14 parlimen.



Annuar berkata, selain itu, kekalahan besar BN juga disebabkan oleh pengundi Cina yang mengundi pembangkang khususnya DAP.



"Jika anda lihat, pengundi Cina beralih kepada pembangkang tetapi ia boleh ditangani dalam pilihanraya umum akan datang," katanya lagi.



Menurutnya, kekalahan besar kali ini tidak membimbangkan kerana fenomena ini sudah biasa dalam politik negara.



Beliau berkata, dalam pilihanraya umum 1999 BN kalah teruk tetapi bangkit semula dalam pilihnaraya umum 2004.



"Selain faktor pengundi Cina, faktor calon, kurang kerjasama, logistik, dan kelam-kabut dalam parti (BN) juga menyebabkan BN kalah besar kali ini.



"Keadaan menjadi kelam-kabut kerana sikap sesetengah individu dalam parti yang mengeluarkan kenyataan dan pandangan mengikut kepentingan mereka sendiri.



"Pandangan sebegini menjadikan orang keliru dan serba-salah. Mereka bercakap, mereka bersuara kerana mempunyai agenda sendiri," katanya lagi.



Mengulas kenyataan Datuk Mukhriz Mahathir yang mahu pemimpin atasan BN mendengar tuntutan rakyat susulan ketewasan besar dan mengejut itu, Annuar berkata exco Pemuda itu bercakap kerana beliau mempunyai agendanya sendiri.



Tambahnya, Mukhriz bersuara kerana ada bapanya Tun Dr Mahathir Mohamad yang menyokong beliau.



Mengulas mengenai peranan naib ketua Pemuda Umno yang juga menantu Perdana Menteri, Khairy Jamaluddin dalam pilihanraya umum kali ini, Annuar berkata, "Khairy hanyalah seorang ahli parlimen."



"Khairy bukan faktor kepada politik Umno," katanya.



Sementara itu, ketua Pemuda Umno Datuk Hishamuddin Tun Hussein, ketika ditemui di tempat sama, bagaimanapun, enggan mengulas mengenai Mukhriz.

No comments: