2008-04-07

"Mahathir sepatutnya bantu Abdullah" Ismail Sabri

Oleh Bernama
Sabtu, 05 April 2008



BERA: Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sepatutnya memainkan peranan membantu memulihkan Umno selepas prestasi buruk Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum 8 Mac lepas, dan bukannya mengeluarkan kenyataan berterusan yang boleh memecah belahkan parti.



Menteri Belia dan Sukan Datuk Ismail Sabri Yaakob berkata kritikan dan desakan Dr Mahathir supaya Presiden Umno dan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi melepaskan jawatan hanya akan memburukkan lagi keadaan.



"Tun tidak sepatutnya membuat kritikan terhadap soal pencalonan Presiden, kuota, undi bonus, dan kritikan terhadap Majlis Tertinggi.



"Sistem kuota misalnya adalah bermula sejak zaman Tun sebagai Presiden Umno lagi," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis meraikannya pelantikannya sebagai menteri dalam kabinet Abdullah di Kompleks Rakan Muda Bera di sini hari Sabtu.



Ismail Sabri, yang juga Ketua Umno Bahagian Bera, berkata Dr Mahathir tidak perlu berterusan membuat kritikan kepada pucuk pimpinan kerana ahli-ahli Umno di peringkat akar umbi boleh menentukan soal pemilihan Presiden parti melalui proses demokrasi (kuota pencalonan), sistem yang diwarisi daripada beliau sendiri.



Katanya sebagai negarawan yang banyak berjasa kepada parti dan negara, Dr Mahathir sepatutnya menggunakan pengalamannya itu bagi memulihkan semula keyakinan rakyat terutamanya orang Melayu terhadap Umno ketika ini.



Beliau, yang juga anggota Parlimen Bera, berkata semasa berlaku krisis kepimpinan antara Dr Mahathir dan Tengku Razaleigh Hamzah pada 1987, separuh daripada kabinet beliau telah meletak jawatan sebagai memberi "isyarat" supaya beliau mengundur diri tetapi beliau tetap tidak meletak jawatan.



"Begitu juga apabila Tun hanya mencapai kemenangan 43 undi sahaja semasa bertanding dengan Ku Li. Keputusan itu menggambarkan kekuatan beliau hanya 50-50 tetapi tidak ada siapa yang mendesak beliau meletak jawatan," katanya.



Mengenai Mesyuarat Agung Khas (EGM), Ismail Sabri berkata EGM tidak perlu diadakan kerana Perhimpunan Agung Umno telah pun dijadualkan Disember ini.



Beliau berkata Umno bahagian Bera melahirkan sokongan penuh kepada Abdullah untuk terus memimpin Umno dan kerajaan dan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Timbalan Presiden Umno dan Timbalan Perdana Menteri.



Pada pilihan raya umum lepas, Barisan Nasional (BN) gagal mendapat majoriti dua pertiga dalam Parlimen selepas memenangi hanya 140 kerusi daripada 222 kerusi Parlimen manakala pembangkang memenangi 82 kerusi.



BN juga tewas di Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor selain Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur serta gagal merampas kembali Kelantan daripada Pas.



http://klpos.com/v2/index.php?option=com_content&task=view&id=983&Itemid=84

Semua Kandungan dan Semua komen para pembaca pada blog ini bukan pandangan dan pendirian saya dan Saya tidak bertanggungjawab untuknya.

No comments: