2008-04-09

Wajarkah projek babi RM100j? - Surat 1



SAYA membaca dengan penuh minat berita mengenai kerajaan campuran Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Pas Selangor meluluskan projek mendirikan ladang ternakan babi bernilai RM100 juta di Sepang.



Lebih menarik bila salah seorang Exconya, Teresa Kok berkata, dia amat berbangga dengan keputusan kerajaan negeri yang meluluskan projek itu.



Tidak ada salahnya dengan projek itu. Tetapi kalau dilihat pada soal ‘kepentingan’ dan ‘keperluan’ rasanya banyak lagi perkara penting lain yang perlu didahulu atau diutamakan sebagaimana yang dijanjikan dalam pilihan raya umum lalu.



Mana perginya manifesto yang berdegar-degar dicanang sewaktu kempen dan sejurus menang pilihan raya?



Dalam manifesto itu DAP menggariskan pelbagai janji tidak termasuk janji PKR dan Pas lagi. Jika disatukan semua janji kerajaan campuran ini, rasanya berganda lagi kemajuan dan kemakmuran negeri Selangor.



Malangnya satu janji pun belum ditunaikan, projek penternakan babi pula jadi keutamaan!



Pertanyaan saya, mendesak sangatkah keperluan ladang ternakan babi moden itu sehinggakan ia mendahului pelbagai janji pilihan raya sebagaimana terkandung dalam manifesto.



Sebagai sebuah ‘kerajaan rakyat’ yang mendakwa mendapat sokongan penuh rakyat dan akan bekerja untuk rakyat, DAP, PKR dan Pas tidak boleh mengetepikan sensitiviti orang Melayu dan Islam dalam perkara ini.



Justeru kerajaan campuran ini perlu mendapatkan pandangan seluruh rakyat Selangor sebelum memulakan projek penternakan babi moden ini tidak kira di mana ia mahu ditempatkan.



Saya juga tertarik dengan kenyataan Teresa bahawa setiap perkara berkaitan dengan ternakan babi atau daging babi seharusnya tidak dijadikan isu sensitif kerana babi juga makhluk ciptaan Tuhan.



Saya ingin memperbetulkan ‘sensitiviti’ Teresa. Sebagai seorang Melayu dan Islam, babi memang sangat ‘sensitif’.



Orang Melayu/Islam tidak perlu melihat gambar Teresa Kok bersama lima ekor babi panggang sebagaimana disiarkan dalam laman blognya (sebelum ditarik balik) untuk merasa loya, mendengarnya pun sudah cukup untuk membuatkan ‘kembang tekak’.



Selain haram disentuh dan dimakan, babi juga bukan binatang ternakan orang Melayu.



Orang Melayu Tumpat mungkin bela lembu atau kerbau tapi mereka tidak bela ‘kerbau pendek’.



Barangkali babi-babi yang didakwa Teresa berkeliaran di sebuah perkampungan orang Melayu di Tumpat, Kelantan itu sebenarnya bukan kampung orang Melayu tetapi Kampung Bunuhan, sebuah perkampungan orang Siam terkenal di Kelantan.



ANAK SELANGOR

Sungai Buloh.



http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0408&pub=Utusan_Malaysia&sec=Forum&pg=fo_01.htm

Semua Kandungan dan Semua komen para pembaca pada blog ini bukan pandangan dan pendirian saya dan Saya tidak bertanggungjawab untuknya.

No comments: