Semua Kandungan dan Semua komen para pembaca pada blog ini bukan pandangan dan pendirian saya dan Saya tidak bertanggungjawab untuknya.
Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Komunikasi, Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Madya Mohamad Md. Yusoff berkata, kegagalan media Melayu berbuat demikian akan menyebabkan agenda utama menyatupadukan orang Melayu gagal dicapai sehingga hari ini.
Lebih teruk, katanya, laporan media Melayu yang mempertahankan hak kaum itu dan menyentuh tentang masyarakat lain akan dilabel sebagai bersifat perkauman seperti yang sering dialami Utusan Malaysia.
"Kita tengok Utusan, bila keluarkan laporan 'Apa Lagi Cina Mahu?', semua pihak tuduh rasis sedangkan apa yang dilontarkan akhbar itu adalah realiti.
Dalam hal ini, kita lihat Utusan berjuang bersendirian, tiada sokongan daripada akhbar arus perdana berbahasa Melayu lain.
"Berlainan dengan media Cina, yang turut memainkan sentimen kaum tetapi yang membezakannya ialah sama ada arus perdana atau pun media baharu telah membentuk satu sinergi, sepakat apabila berbicara tentang hak orang Cina,'' katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau mengulas laporan muka hadapan Utusan Malaysia semalam bertajuk 'Apa Lagi Cina Mahu?' yang dituduh oleh banyak pihak sebagai rasis.
Laporan itu mendapat liputan meluas sehingga soalan tentangnya juga diajukan oleh seorang wartawan berketurunan Cina kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam sidang akhbar beliau semalam.
Najib diasak beberapa kali oleh wartawan berkenaan dari mula sehinggalah berakhirnya sidang akhbar dengan meminta beliau 'menerangkan' bagaimana Utusan Malaysia boleh membuat laporan berita seumpamanya.
Walau bagaimanapun, Najib yang juga Presiden UMNO langsung tidak melatah dan dengan tenang menjawab: "Awak salahkan Utusan, bagaimana pula akhbar berbahasa Cina? Adakah anda kata sesetengah orang memperkatakan benda yang betul setiap masa?"
Respons Najib itu mendapat tepukan gemuruh para wartawan dan jurugambar yang membuat liputan sidang akhbar di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) itu.
Sehubungan itu, menurut Mohamad, media-media Melayu lain perlu membantu Utusan, termasuklah dalam kalangan pengamal media baharu sendiri.
"Media baharu berteraskan Melayu juga tidak kuat, berpecah dari semua segi termasuklah perpaduan kaum itu sendiri, sebab itu kita nampak lemah," katanya.
Presiden Kelab Wartawan Muda Malaysia (KWMM), Dzulkarnain Taib pula memberitahu, tiada sekelumit unsur perkauman seperti didakwa oleh pihak-pihak tertentu dalam laporan akhbar Utusan Malaysia semalam.
Katanya, apa yang cuba disampaikan akhbar itu ialah persoalan tentang apa lagi yang dimahukan oleh masyarakat Cina untuk menyokong Najib setelah banyak tuntutan kaum itu diberikan perhatian sebelum ini.
"Mereka (orang Cina) telah lupa dengan nikmat yang diperoleh selama berada di bawah pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN). Dasar-dasar yang dilaksanakan kerajaan membolehkan mereka menguasai bidang ekonomi dan bebas berniaga.
"Tetapi apabila mereka sudah senang dan termakan pula pujuk rayu serta dakyah yang dibawa oleh DAP, mereka mahukan kuasa politik pula," jelasnya.
Menurutnya, masyarakat Cina yang memilih untuk mengundi DAP pada pilihan raya umum lalu pasti menyesal apabila MCA yang menjadi komponen BN menolak untuk memegang sebarang jawatan dalam Kabinet.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20130509/po_01/Utusan-paksi-perjuangan-Melayu#ixzz2SvbJ5SOG
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment