2013-05-09

Semua Kandungan dan Semua komen para pembaca pada blog ini bukan pandangan dan pendirian saya dan Saya tidak bertanggungjawab untuknya.


Pertahan hak bangsa Melayu

Hasan Hamzah, Roslan Dahaman

Kekuatan sinergi akhbar-akhbar Melayu yang menjadi landasan perjuangan kemerdekaan negara pada 1957 perlu dikembalikan untuk menjunjung dan mempertahankan hak bangsa Melayu.

Setiausaha Agung Badan Bertindak Perpaduan Melayu, Hasan Hamzah berkata, gerakan itu amat penting agar akhbar-akhbar Melayu dapat menjadi satu suara besar untuk melindungi kedudukan kaum Melayu yang merupakan majoriti di negara ini.

“Sepatutnya akhbar-akhbar Melayu berani menyatakan perkara yang hak, tidak perlu lagi takut untuk membidas kerana majoriti kaum Cina langsung tidak menghargai begitu banyak budi yang diberikan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) kepada mereka.

“Kita telah ditikam dari belakang, cuma kita tidak mati sahaja, yang berkorban selama ini pun orang Melayu dan yang akan terkorban juga akhirnya adalah bangsa Melayu sekiranya perkara ini dibiarkan lagi," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Komunikasi, Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Madya Mohamad Md. Yusoff semalam bahawa media yang berteraskan orang Melayu, sama ada tradisional mahupun elektronik harus membentuk sinergi bersama sebagai satu pasukan dalam mempertahan serta memperjuangkan suara komuniti itu.

Dalam keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13, sokongan kaum Cina terhadap kerajaan BN terlalu rendah walaupun pelbagai inisiatif telah diambil kerajaan BN bagi menjaga kepentingan kaum itu di negara ini.

Menurut Hasan, beliau mengucapkan tahniah kepada Utusan Malaysia yang berani mempertahankan hak kaum Melayu kerana selama ini akhbar-akhbar Cina seringkali membangkitkan isu berbau perkauman bagi melindungi kepentingan kaum itu.

“Saya mahu bertanya kepada bangsa Melayu, wahai bangsaku, apa lagi bukti yang kita perlukan, kita tidak boleh berlembut lagi dan kita perlu bersatu untuk mempertahankan hak bangsa Melayu dan membina kekuatan ekonomi," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Kebajikan dan dakwah Islamiah Malaysia (Pekida) Wilayah Persekutuan, Datuk Roslan Dahaman berkata, akhbar-akhbar Melayu perlu bergerak bersama untuk menjadi tunjang kepada perjuangan bangsa Melayu dan agama Islam.

“Orang Melayu perlu ditanam dengan sikap perjuangan sejak dari kecil lagi agar nasib bangsa ini tidak merempat di negara sendiri, kita mesti sentiasa mempertahankan hak Melayu," katanya.

Jelas beliau, akhbar-akhbar Melayu serta medium lain sememangnya platform terbaik untuk memupuk kekuatan perpaduan Melayu bagi menghadapi segala cabaran yang perlu ditempuhi.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130510/dn_01/Pertahan-hak-bangsa-Melayu#ixzz2Svb26ToV
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments: