2013-05-09

Pembangkang mahu negara porak-peranda

Semua Kandungan dan Semua komen para pembaca pada blog ini bukan pandangan dan pendirian saya dan Saya tidak bertanggungjawab untuknya.


Hilmi Ismai, Md. Yusuf


Pembangkang sanggup melakukan apa sahaja termasuk merosakkan negara setelah hasrat mereka untuk mendapat kuasa melalui Pilihan Raya Umum Ke-13 gagal.

Presiden Pertubuhan Warisan Adat Melayu Malaysia, Datuk Mohd. Rodzi Awang Kechek berkata, akibat kegagalan itu, pembangkang kini cuba menganjurkan demonstrasi semata-mata mahu melihatkan kepada dunia luar negara ini tidak demokratik.

“Mereka (pembangkang) menuduh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kononnya tidak adil dan tidak telus. Mereka kata macam-macam tetapi tidak pula persoalkan kemenangan mereka di Selangor, Kelantan dan Pulau Pinang melalui pilihan raya sama.

“Mereka ajak rakyat berdemonstrasi dan mahu negara luar terutamanya Barat campur tangan dan mereka akan dapat apa yang mereka mahu (kuasa) melalui cara ini. 


Mereka tidak kisah langsung tentang keamanan dan kemakmuran negara," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas tindakan pembangkang yang semakin agresif membakar sentimen penyokong mereka supaya melakukan bantahan berterusan terhadap keputusan pilihan raya umum lalu termasuk mengadakan demonstrasi.

Tindakan berkenaan menimbulkan persoalan besar berhubung tindak-tanduk pemimpin pembangkang yang seolah-olah menghasut rakyat mencetuskan gelombang bantahan yang boleh menimbulkan ketegangan.

Presiden Gagasan Melayu Perak (GMP), Datuk Seri Mohd. Hilmi Ismail berkata, tindakan pembangkang menghasut rakyat berdemonstrasi dibuat akibat terlalu kecewa kerana usaha mereka selama lima tahun merangka strategi menghancurkan Barisan Nasional (BN) tidak kesampaian.

Tegas beliau, dalam mencapai matlamat itu, mereka sanggup 'menghalalkan' segala perbuatan yang dilakukan meskipun boleh memporak-perandakan negara ini.

“Mereka (pembangkang) tidak sedar jika negara kucar-kacir dan porak-peranda, bukan sahaja rakyat yang menanggung azabnya malah mereka juga turut terheret sama.

“Bagi saya lebih baik mereka terima sahaja keputusan yang dibuat rakyat itu dan bukan mencari salah pihak lain semata-mata mahu lari daripada kenyataan," katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) Perak, Md. Yusuf Alang Ahmad mengecam tindakan yang cuba dilakukan pembangkang dan meminta mereka akur dengan 'suara' rakyat yang diterjemah melalui keputusan pilihan raya umum.

“Mereka patut faham, dalam suasana ketika ini yang masih wujud pelbagai sentimen, mereka tidak sepatutnya cuba meniupkan api kemarahan rakyat.

“Pihak berkuasa mesti bertindak lebih tegas dan tidak membiarkan puak-puak ini merosakkan negara," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Pilihan_Raya/20130509/px_20/Pembangkang-mahu-negara-porak-peranda#ixzz2SvZKB1Pq
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments: