2013-05-09

DAP sengaja main isu kaum untuk raih undi

Semua Kandungan dan Semua komen para pembaca pada blog ini bukan pandangan dan pendirian saya dan Saya tidak bertanggungjawab untuknya.



DAP didakwa sengaja menggunakan pelbagai isu perkauman untuk 'meracuni' pemikiran masyarakat Cina di negara ini semata-mata untuk meraih undi sehingga menjejaskan keharmonian sedia ada.

Presiden Barisan Bersatu Nambikei, B. Kalaivanar mendakwa, parti tersebut dianggap melampau sehingga sanggup berbuat apa sahaja demi memastikan sokongan masyarakat Cina 100 peratus milik parti itu.

"Saya sendiri telah memantau setiap kempen mereka di Perak dan Johor. Mereka benar-benar menggunakan pelbagai isu perkauman yang menyentuh sensitiviti masyarakat itu sehingga kesemua mereka beralih kepada DAP. 

Antaranya, menggunakan isu bekas Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng, isu bumiputera dan kuota pendidikan. Semua itu telah membakar semangat kaum Cina.

"Justeru, mereka menjadi keliru dengan setiap tohmahan dan pembohongan DAP. Parti itu juga sengaja membangkitkan perasaan takut dan tidak yakin terhadap kerajaan sehingga dikatakan boleh menjejaskan masa depan kaum tersebut," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa pengundi Cina ditipu pakatan pembangkang kononnya mampu mengubah kerajaan hingga terdorong mengundi parti DAP pada pilihan raya umum lalu.

Walau bagaimanapun, menurut Perdana Menteri, usaha tersebut gagal dan kerajaan Barisan Nasional (BN) sehingga kini tidak tumbang serta masih kekal selepas selesai pilihan raya umum tersebut.

Najib berkata, meskipun sebahagian besar masyarakat Cina menyokong pembangkang, namun BN tetap berjaya mendapat sokongan padu daripada orang Melayu, India dan masyarakat bumiputera di Sabah dan Sarawak.

Tambah Kalaivanar, DAP sering memberikan gambaran buruk tentang kerajaan BN dengan persepsi bahawa mereka dipergunakan untuk mengaut keuntungan, hasil usaha mereka dalam bidang ekonomi.

"Semua gambaran ini telah menyebabkan masyarakat Cina marah dengan kerajaan. Macam-macam telah dibuat oleh DAP sejak beberapa tahun kebelakangan ini demi memastikan semua parti Cina dalam BN 'dibunuh'.

"DAP telah berjaya dalam misi mereka kerana menjadi dominan dengan menang besar pada pilihan raya umum lepas. Namun, DAP sudah pasti akan melipatgandakan usaha dengan menggunakan taktik kotor untuk meluaskan empayar kuasa mereka," ujarnya.

Sementara itu, Pengerusi Power Malaysia, M. Mohana berkata, walaupun DAP berjaya membentuk kerajaan di Pulau Pinang pada Pilihan Raya Umum Ke-12 dan kini, namun sehingga hari ini, parti itu tidak mempunyai sebarang rekod yang menunjukkan mereka telah membantu masyarakat Cina.

"Sehingga hari ini, hanya BN telah membantu masyarakat Cina dengan menaik taraf kehidupan mereka iaitu dari membina beratus sekolah, memberikan biasiswa sehinggalah membuka peluang perniagaan.

"Mana DAP ketika itu? Masyarakat Cina harus sedar DAP hanya berminat untuk merampas kuasa. Kerajaan BN banyak membantu kaum Cina dan India selama ini," katanya.
---
Tambahnya, DAP tidak berjaya menghasut masyarakat India dengan sentimen perkauman yang dijaja oleh parti itu kerana masyarakat India sudah kembali kepada kepimpinan BN.

"Sampai bila-bila, DAP tidak akan berhenti menggunakan taktik agresif sehingga berjaya memegang keseluruhan kuasa pemerintahan di negara ini," katanya


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Pilihan_Raya/20130509/px_04/DAP-sengaja-main-isu-kaum-untuk-raih-undi#ixzz2SvYwWwMV
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments: