Semua Kandungan dan Semua komen para pembaca pada blog ini bukan pandangan dan pendirian saya dan Saya tidak bertanggungjawab untuknya.
Ismail Mohamed
Tsunami pengundi Cina turut berlaku di Parlimen Pagoh yang diwakili Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin terutama di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Serampang.
Kira-kira 21 peratus atau 7,000 pengundi Cina daripada 21,000 pengundi di DUN Bukit Serampang menunjukkan kuasa selepas turut serta dalam arus tsunami Pilihan Raya Umum Ke-13 itu.
ADUN Bukit Serampang, Ismail Mohamed mengakui terkejut dan kesal dengan perubahan sokongan sebahagian besar kaum itu sedangkan semua kepentingan dan keperluan mereka sudah dipenuhi sama ada di pekan atau luar bandar.
Sejak pilihan raya umum 2008, Muhyiddin sudah menyalurkan peruntukan lebih RM20 juta kepada masyarakat Cina di DUN Bukit Serampang terutama di pekan Kundang Ulu, pekan Lenga, pekan Bukit Kepong dan Kampung Teratai.
Semua peruntukan itu untuk 10 tokong, lima sekolah rendah jenis kebangsaan (SJKC) dan jalan-jalan kampung, balai raya dan banyak lagi untuk memberi keselesaan kepada kira-kira 10,000 penduduk Cina di Bukit Serampang," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Dalam pilihan raya umum lalu, Ismail yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pagoh mendapat sebanyak 12,977 undi manakala Saadon Abdullah daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) mendapat 5,132 undi.
Muhyiddin pula berjaya mempertahan kerusi Parlimen Pagoh dengan majoriti 12,842 undi selepas mendapat 26,274 undi menewaskan Timbalan Ketua Dewan Ulama Pas negeri, Mohd. Rozali Jamil yang mendapat 13,432.
Datuk Dr. Sharuddin Md. Salleh turut berjaya mempertahan kerusi DUN Jorak bagi penggal kedua dengan majoriti 3,746 undi selepas mendapat 12,669 undi menewaskan Norhayati Bachok (Pas) 8,937 undi.
Walaupun undi Cina merosot, Ismail berkata, tidak semua pengundi kaum itu mengundi pembangkang kerana terdapat penyokong MCA dan Gerakan terutama di kawasan Gersik menyokong Barisan Nasional (BN).
Beliau berkata, realiti itu sukar dipercayai kerana Muhyiddin sangat menjaga masyarakat di Pagoh tanpa mengira kaum dan amat mengejutkan kerana selama ini orang Cina sebenarnya berpura-pura.
Kita dapati masyarakat Cina sudah membuat keputusan untuk tidak memilih BN awal-awal lagi dan mereka ini tidak jujur dengan BN, sukar untuk percaya Pagoh turut dilanda tsunami Cina sedangkan tidak ada keperluan untuk menyokong pembangkang," katanya.
Ismail berkata, bagi memastikan semua kaum tidak terabai di Pagoh, BN Bahagian Pagoh menubuhkan Biro Integrasi Kaum Parlimen Pagoh sejak 2009 bagi memastikan keperluan semua masyarakat termasuk Cina dijaga.
Beliau yang merupakan Timbalan Pengerusi Biro Integrasi Kaum Parlimen Pagoh berkata, pihaknya juga akan berjumpa wakil-wakil MCA dan Gerakan Bahagian Pagoh selain ketua-ketua masyarakat dan kampung untuk berbincang tentang kemerosotan undi Cina.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Pilihan_Raya/20130509/px_49/Tsunami-Cina-turut-landa-kawasan-TPM#ixzz2SvZtPrDn
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment