2013-05-09

PRU-13: Kemenangan calon DAP tidak sah?

Semua Kandungan dan Semua komen para pembaca pada blog ini bukan pandangan dan pendirian saya dan Saya tidak bertanggungjawab untuknya.


Kemenangan calon DAP di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Dalam, A. Tanasekharan dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 dipertikaikan berikutan surat pelantikan watikah yang ditandatangani pemimpin parti itu kepadanya mungkin tidak sah.

Ketua Cawangan DAP Bagan Luar, G. Asoghan berkata, beliau mempersoalkan perkara itu kerana Pendaftar Pertubuhan (ROS) tidak mengiktiraf pemegang jawatan dalam parti berkenaan.

"Ini berikutan pengumuman ROS beberapa hari sebelum hari pencalonan bahawa pemilihan DAP pada 15 Disember tahun lalu bagi membentuk Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) tidak sah.

"Apabila pemilihan parti tidak sah, maka komposisi baharu CEC termasuk kedudukan Pengerusi, Setiausaha Agung memang tidak sah dan tidak boleh diguna pakai.

"Maka surat watikah yang ditandatangani pucuk pimpinan DAP untuk membenarkan Tanasekharan bertanding atas simbol parti memang tidak mempunyai apa-apa kuasa atau legitimasi undang-undang," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-13 baru-baru ini, Asoghan yang bertanding atas tiket Bebas berdepan pertandingan empat penjuru menentang Tanasekharan, calon Barisan Nasional (BN), M. Karuppanan dan calon Parti Cinta Malaysia (PCM), Lim Seang Teik di DUN Bagan Dalam.

Tanasekharan menang dengan majoriti 5,161 undi.
ROS sebelum ini tidak mengiktiraf ahli CEC DAP yang dilantik dalam pemilihan pada 15 Disember tahun lalu selagi siasatan masih berjalan.

Perkara tersebut dinyatakan dalam notis menurut Seksyen 16(1) di bawah Akta Pertubuhan 1966 yang telah dihantar kepada Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Tindakan itu dibuat mengikut Seksyen 3A Akta Pertubuhan 1966.

Isu pemilihan CEC DAP pada tahun lalu menimbulkan keraguan kerana didakwa wujud penyelewengan oleh ahlinya sendiri apabila parti berkenaan dikatakan gagal memberikan notis kepada 753 delegasi yang merupakan ahli sah dan layak mengundi pada hari tersebut.

Asoghan memberitahu, Tanasekharan sepatutnya bertanding atas tiket Bebas dan bukan DAP.

Sehubungan itu, beliau mendesak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membatalkan kemenangan Tanasekharan kerana menggunakan watikah yang tidak sah.

Menurutnya, beliau tidak membantah pencalonan Tanasekharan pada hari pencalonan kerana undang-undang baharu SPR melarangnya berbuat demikian.

"Para pengundi di DUN Bagan Dalam yang memilih Tanasekharan pada Pilihan Raya Umum Ke-13 juga telah ditipu kerana mereka mungkin tidak tahu mengenai hal ini," jelasnya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Pilihan_Raya/20130510/px_09/PRU-13-Kemenangan-calon-DAP-tidak-sah#ixzz2SvY737sl
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments: